'Pengguna hanya berani tular aduan di laman sosial'

Saharuddin (kiri) sedang memeriksa harga yang dipamerkan kepada pengguna di salah sebuah restoran di sekitar Kuala Terengganu.
Saharuddin (kiri) sedang memeriksa harga yang dipamerkan kepada pengguna di salah sebuah restoran di sekitar Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengguna hari ini dilihat hanya berani menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung kenaikan harga barang dengan menularkan isu berkenaan di media sosial tetapi enggan bertindak dengan betul.

Tindakan segelintir pengguna yang enggan membuat aduan kepada pihak berkuasa tetapi sekadar menularkan di laman sosial seperti menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang- undang sewajarnya.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, sehingga hari ini, pihaknya masih tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung isu kenaikan harga barang dan makanan, sedangkan isu tersebut sedang hangat diperkatakan di media sosial.

"Untuk makluman semua, setakat hari ini kami hanya bertindak atas aduan yang ditularkan di media sosial termasuk aplikasi Facebook dan WhatsApp bukannya daripada aduan secara langsung daripada pengguna kepada kami.

"Jadi, ini agak menyukarkan kami untuk mengambil tindakan undang-undang dalam kadar segera kerana kami perlu ambil masa sedikit untuk kenal pasti restoran atau kedai makan lokasi sebenar yang mereka tular itu, kadang kala kami ke lokasi restoran yang dimaksudkan tutup.

"Jadi, saya memohon orang ramai agar menyalurkan aduan berkaitan di saluran yang sudah disediakan bagi mempermudahkan pihak kami mengambil tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan harga di beberapa restoran di daerah ini, pada Selasa.

Kata beliau, pihaknya tidak menafikan memang ada beberapa restoran atau kedai makan di Terengganu dikenalpasti mengenakan harga makanan tinggi terutama pada musim cuti sekolah dan cuti umum.

Artikel Berkaitan: