X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

'Nothing to hide' - Tun M jawab isu pajakan tanah di Langkawi

Dr Mahathir (kanan) dan Najib
A
A

KUALA LUMPUR - Pertelagahan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak saban minggu memasuki episod baharu apabila kedua-dua pemimpin itu dilihat saling berbalas kenyataan.

Minggu lepas, Najib mendakwa Dr Mahathir ‘membayar’ kerajaan untuk mendapatkan tanah tepi pantai seluas 24 hektar (34 ekar) di Langkawi untuk tempoh 60 tahun dengan harga pajakan RM3,200 setahun.

Hari ini, Dr Mahathir pula membalas, mengakui beliau pajak tanah tersebut namun menegaskan, pajakan dengan bayaran bukanlah hadiah, malah beliau tidak mendapat tanah itu secara percuma selain tiada diskaun ditawarkan.

“Tidak ada yang saya dapat percuma sebagai hadiah dari kerajaan Persekutuan atau negeri. Sebaliknya, kos sewaan dinaikkan berkali ganda sehingga saya serah balik kepada LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi), Langkawi.

“Bermacam usaha saya lakukan, ternak kerbau, buat keju, tanam sayuran. Ada yang berjaya, ada yang tidak.

“Yang tidak 'economically viable' apabila sewa dinaikkan oleh LADA, saya kembalikan pajakan pada pihak berkuasa,” katanya menerusi tulisan di blognya pada Selasa.

Dalam entri terbaharunya itu, beliau turut menegaskan, kesediaannya untuk disiasat sekiranya pihak berkuasa mendapati wujudnya salah laku dalam dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu.

“Macam-macam tuduhan yang dibuat tentang 'salah laku' saya. Kalau benar dakwalah. Kalau bersalah hukumlah. Malahan masa saya mula buka mulut pasal 1MDB berbagai usaha nak tuduh saya buat salah dilakukan kepimpinan masa itu.

“Bila gagal sampai tukang masak saya pun dilucut jawatan. Isteri saya pun turut disoal siasat. LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) pula siasat anak-anak saya.

“Alhamdulillah, cukai semua dibayar ikut undang-undang dan tak timbul hutang cukai sampai berbilion. Jadi tak perlu minta pelepasan pasport untuk ke luar negara,” ujarnya.

Meskipun beliau tidak menyebut sebarang nama dalam tulisannya namun entri itu dipercayai ditujukan kepada Najib memandangkan beliau yang membangkitkan isu tersebut sebelum ini.

“Saya ingat buat masa ini saya tak perlulah jelaskan apa-apa. Kalau pihak berkuasa terbabit nak jelas tentang pajakan-pajakan saya, silalah.

“Tidak ada apa-apa yang nak saya sembunyi pun. Nothing to Hide,” tulisnya mengakhiri entri yang bertajuk 'Antara Pajak dan Percuma'. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!