X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Jururawat rugi lebih RM170,000 ditipu polis palsu

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KOTA BHARU - Seorang jururawat berputih mata apabila kerugian lebih RM170,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai anggota dan pegawai polis.

Mangsa berusia 43 tahun menyedari dirinya diperdaya oleh sindiket berkenaan selepas membuat beberapa transaksi pemindahan wang sebelum membuat laporan polis pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa sebelum itu dihubungi oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai anggota polis dan memberitahu identiti mangsa disalahgunakan oleh pihak tidak dikenali.

Katanya, suspek kemudian menghantar satu laporan polis menerusi aplikasi WhatsApp kepada mangsa dan menyuruh wanita itu melaporkan pergerakan mangsa dan aktiviti yang dilakukan setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 8 malam.

“Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu bahawa pihak Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) akan menjaga akaun bank milik mangsa.

“Mangsa hanya perlu memasukkan wang ke dalam akaun bank atas nama seorang individu dan pada 20 Oktober, wanita itu membuat pembayaran sebanyak RM25,800,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurut beliau, wanita itu kemudian membuat tujuh lagi transaksi dengan jumlah keseluruhan lebih RM170,000 ke empat akaun berbeza.

“Pada 13 November, mangsa cuba menghubungi suspek, namun gagal dan akhirnya menyedari dirinya ditipu oleh sindiket. Mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Shafien mengingatkan semua pihak berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

“Mereka licik melakukan kegiatan penipuan dengan pelbagai cara,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!