Ops Menu: Empat restoran dikompaun RM1,000

Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia memeriksa salah seekor ikan siakap yang dijual di salah sebuah restoran di sekitar Kuala Terengganu, pada Selasa.
Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia memeriksa salah seekor ikan siakap yang dijual di salah sebuah restoran di sekitar Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Empat pemilik restoran di negeri ini dikenakan kompaun RM1,000 kerana didapati gagal mempamerkan tanda harga pada menu makanan dan menggunakan timbangan yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan dalam Ops Menu yang dilakukan.

Perkara itu dikesan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu yang menjalankan operasi berkenaan yang bermula pada 6 November lalu sehingga Selasa

Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya mempergiatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas restoran melibatkan restoran di empat daerah iaitu di Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Dungun.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 346 pemeriksaan di restoran dan kedai makan dan hasil pemantauan mendapati, dua pemilik restoran gagal meletakkan tanda harga pada menu makanan manakala dua buah lagi restoran didapati menggunakan timbangan yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.

Jelas Saharuddin, skop pemeriksaan Ops Menu adalah di premis yang menjual makanan sedia masak, restoran makanan laut atau mana-mana restoran yang menggunakan atau mengamalkan prinsip timbangan dalam mengenakan caj bayaran.

“Kita komited mahu memastikan pematuhan penandaan harga dan alat timbang yang sah bagi mengelak manipulasi atau penipuan oleh peniaga.

“Justeru, semua pengusaha premis perlu mematuhi peraturan ditetapkan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan termasuk didakwa di mahkamah atau dikompaun,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan pelaksanaan penguatkuasaan di bawah Ops Menu di sekitar daerah Kuala Terengganu, pada Selasa.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan bijak membuat pilihan dalam berbelanja dengan memilih restoran atau kedai makan yang beretika.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan boleh menghantar pesanan WhatsApp ke 019-2794317 atau menghubungi 1800-886-800/ 03-88826245 @ 6088 dan melayari portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau kiriman e-mel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my.