X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Larangan ke Afrika Selatan: Pendirian berasaskan risiko keselamatan

Hishammuddin - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pendirian Malaysia untuk mengenakan larangan perjalanan ke Afrika Selatan bukan dibuat bersandarkan geopolitik atau hubungan dua hala, sebaliknya berasaskan kepada risiko keselamatan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan Malaysia untuk berbuat demikian susulan penemuan varian baharu Covid-19, Omicron di negara berkenaan juga selari dengan tindakan beberapa negara luar lain.

"Kita banyak berkisar kepada nasihat dan pandangan daripada KKM dan apa yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini juga tidak jauh daripada apa yang diumumkan oleh beberapa negara di luar sana.

"Jadi saya percaya bahawa negara-negara Afrika faham bahawa ia bukannya berhubung kait dengan isu diplomasi atau geopolitik tetapi kesihatan.

"Takkanlah kita hendak menjejaskan apa yang telah kita lakukan selama ini, lebih kurang satu tahun setengah dengan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan mengatakan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengecam sebahagian besar negara yang mengenakan larangan perjalanan terhadap negaranya berhubung penemuan varian baharu Covid-19, Omicron.

Pada 26 November, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak akan dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara susulan penularan varian Omicron tersebut.

Varian Omicron atau juga dirujuk dengan strain baharu Covid-19 itu sebagai B.1.1.529, pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) muncul di Afrika Selatan pada 24 November lalu selain turut dikesan di beberapa negara lain termasuk Belgium, Hong Kong, Britain, Jerman, Itali dan Israel.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi 'spike' protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!