Jangkitan JE di Kedah tidak membimbangkan

Dr Mohd Hayati (dua, kiri) bersama Nordin (dua, kanan) ketika melancarkan Hari Kitar Semula Kebangsaan peringkat negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Selasa.
Dr Mohd Hayati (dua, kiri) bersama Nordin (dua, kanan) ketika melancarkan Hari Kitar Semula Kebangsaan peringkat negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kes jangkitan 'Japanese Encephalitis' (JE) di Kedah masih tidak membimbangkan namun orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan penyakit berkenaan berlaku.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di Kedah setakat Selasa ialah 10 kes dengan tiga kematian.

Menurutnya, ketiga-tiga kes maut itu membabitkan daerah Kota Setar dan Pendang.

“Kes baharu direkodkan adalah pada 18 November, diikuti kes kedua pada 25 November. Dua lokasi terlibat adalah di Jalan Pegawai dan Jalan Tunku Bendahara, membabitkan orang dewasa anakala kes kematian di Pendang berlaku pada 13 Oktober membabitkan kanak-kanak berusia empat tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis apresiasi sambutan World Clean Up Day (WCD) dan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan peringkat negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah SWCorp Negeri Kedah, Nordin Amat.

Dr Mohd Hayati berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah melaksanakan tindakan pengawalan dan pencegahan antaranya, kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvaciding (menghapuskan larva nyamuk) di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko.

“Penduduk tidak perlu bimbang namun perlu berjaga-jaga pada setiap masa kerana nyamuk yang menjadikan babi, babi hutan dan monyet sebagai perumah ini aktif menggigit siang mahupun malam.

Kawasan ‘hotspot’ lain sedang dikenal pasti sekiranya ada, kemungkinan jangkitan kes ini dibawa dari tempat lain kerana tiada perumah yang dikaitkan dengan penyakit ini di lokasi terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, masyarakat dinasihatkan untuk membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing serta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah.