X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Peralihan ke fasa endemik ditangguh sementara

Hishammuddin
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan untuk menangguh seketika (pause) usaha untuk negara bergerak ke Fasa “Peralihan ke Endemik', kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, keputusan itu dicapai Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 hari ini, sehingga lebih banyak perincian diperolehi tentang varian baharu Omicron.

Selain itu, Hishammuddin berkata, Kuartet juga bersetuju untuk memberi mandat kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan dari semasa ke semasa tentang perkembangan terkini, serta tindakan yang perlu diambil.“Kita juga memahami bahawa Omicron sememangnya berisiko kerana ia boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas namun ia masih boleh dikesan melalui ujian makmal sedia ada.

“Penting untuk saya maklumkan, buat masa ini juga, Mesyuarat Kuartet telah memutuskan untuk menangguhkan seketika (pause) usaha kita untuk beralih ke Fasa “Peralihan ke Endemik' sehingga kita mengetahui lebih lanjut tentang VOC Omicron,” katanya lagi.

Varian Omicron, merupakan varian terbaharu Covid-19 yang sedang menular di beberapa negara Afrika, dan maklumat awal mendapati ia mempunyai 32 jenis mutasi protein berbanding Delta (9 mutasi protein), menjadikan varian baharu itu mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Kuartet juga telah memutuskan kawalan sempadan negara yang lebih ketat, supaya risiko kemasukan Omicron ke negara ini dapat dikurangkan.

Dengan tindakan KKM menutup sempadan kepada beberapa negara Afrika, Hishammuddin berkata, ia selari dengan langkah yang diambil beberapa negara lain, sekali gus menunjukkan negara berada pada landasan yang tepat untuk mengawal virus berkenaan.

“Mesyuarat Kuartet hari ini telah membuat keputusan – bahawa kawalan sempadan perlu lebih ketat, dan mandat diberikan kepada KKM untuk menentukan tindakan yang selanjutnya berhubung kait keluar masuk sempadan, dan apa jua SOP perlu diumumkan.

“Daripada apa yang kita pantau, di rantau ini dan di dunia, kita berada dalam keadaan yang sama dengan negara-negara paling awal memantau dan memerhati varian baharu ini. Ini satu petunjuk yang baik, kerana kita berada di atas landasan yang betul,” katanya lagi. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!