Sultan Johor kesal Sungai Danga dicemari sampah

Sultan Ibrahim mengemudi sendiri ‘Airboat’ milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi tadi dengan menyusuri sungai berkenaan bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran. - Foto Ihsan Royal Press Office
Sultan Ibrahim mengemudi sendiri ‘Airboat’ milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi tadi dengan menyusuri sungai berkenaan bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran. - Foto Ihsan Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa menzahirkan kekesalan terhadap pemandangan Sungai Danga di sini yang dicemari pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai itu.

Justeru, baginda menitahkan kerajaan negeri dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyanathan memberi perhatian dalam menangani masalah pembuangan sampah di sungai-sungai di negeri ini.

“Exco Kesihatan dan Alam Sekitar sila ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.

“Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah baginda dalam Royal Press Office pada Selasa.

Sultan Ibrahim sebelum itu turut berkenan mencemar duli melakukan rondaan di sekitar Sungai Danga di sini dengan mengemudi sendiri bot milik baginda kira-kira jam 9 pagi pada Selasa.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga mahu Vidyanthan segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.

“Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titah baginda.

Artikel Berkaitan: