X

Kindly register in order to view this article
!

Musim panas pesta cari etak

A
A

PEKAN - Sungai Pahang yang surut dan cetek sejak beberapa minggu lalu, kini menjadi tumpuan orang ramai pada waktu petang bagi mengutip etak untuk dijadikan hidangan.

Keadaan sungai cetek bukan sahaja memberi kesempatan kepada mereka mengutip etak bersama keluarga dan rakan, malah memberi peluang kepada anak-anak kecil bermandi-manda.

Tinjauan di Kampung Paloh Hinai, mendapati penduduk yang tinggal di daerah ini dan Kuantan turun ke sungai mencari hidupan sungai itu sekali gus menjadikan persekitaran Sungai Pahang umpama pesta keluarga.

Kebanyakan penduduk berkunjung bersama keluarga untuk menangkap etak menggunakan peralatan seperti jaring dan sangkar buatan sendiri yang menggunakan penutup kipas.

Penduduk, Noorsuhadah Abdul Wahab, 29, berkata, musim kemarau tahun ini memang menjadi tumpuan orang ramai untuk menangkap etak terutama pada sebelah petang bermula jam 5 petang.

Menurutnya, dia yang menetap di Felda Chini 3 sanggup meredah kira-kira 70 kilometer demi mendapatkan etok yang sangat digemari oleh suami dan anak-anaknya

“Ini memang musim etak membiak dan mudah ditangkap lebih-lebih lagi apabila sungai menjadi cetek... Memang seronok sangat tangkap etok ini walaupun ini musim panas.

“Waktu sebelah petang ini kurang panas berbanding tengah hari, jadi selesa untuk berada lebih lama dan hasil pun banyak dan ada juga yang ambil peluang bawa anak mandi-manda,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Sungai Pahang, Paloh Hinai, di sini.

Noorsuhadah berkata, hasil tangkapan mampu mencecah hingga 12 kilogram jika ada yang rajin serta sanggup berkubang lebih lama dalam lumpur sungai.

"Saya dah tiga minggu datang sini hampir setiap hari di sini bersama suami dan etak di sini sangat terkenal sehingga ada yang dari Johor dan Selangor ambil pengalaman cari etak di sini.

“Etak ini saya akan jadikan sebagai santapan seisi keluarga untuk makan malam... masakan kesukaan kami sekeluarga ialah etak rendang dan etak masak cili api.

Sementara itu, bagi Rakiah Zakaria, 71 berkata fenomena seperti itu hanya berlaku pada musim panas dan apabila air sungai surut, orang ramai akan mengambil peluang untuk mencari etak yang sukar diperoleh di pasaran berikutan terdapat undang-undang yang menghalang ia dijual.

Menurutnya, dia tidak mahu melepaskan peluang mengutip etak apabila jiran-jiran mengajaknya untuk menangkap etok di samping dapat meluangkan masa bersama jiranya.

“Macam hari ini (semalam) bila jiran ajak saya..saya pun turut ikut sekali walaupun kadang-kadang daya datang sendiri kerana seronok ada kawan-kawan di samping dapat meluangkan masa dengan aktiviti berfaedah walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca panas.

"Lagipun saya datang kutip etak pun sekadar suka-suka, kalau ada rezeki, bolehlah dapat banyak dan semuanya demi keluarga saya yang minat saya masak etok lemak cili api dan etak masak singgang” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus