Peneroka lega kerajaan Selangor batal pajakan tanah

Wakili peneroka membawa kain rentang ucapan terima kasih kepada Amirudin (kiri) dan pihak PKPS. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Wakili peneroka membawa kain rentang ucapan terima kasih kepada Amirudin (kiri) dan pihak PKPS. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersetuju membatalkan pajakan tanah seluas lebih 38 hektar (96.4 ekar) yang diwartakan kepada dua buah syarikat di Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dua buah syarikat terbabit, Syarikat Baisan Suria Sdn. Bhd dan Syarikat Trilion Project Sdn. Bhd bagaimanapun diberikan gantian pajakan tanah di kawasan lain bagi tujuan pertanian dan penternakan.

Perkembangan itu memberi kelegaan kepada lebih 400 peneroka Ladang Tennamaram susulan isu pajakan tanah tersebut diselesaikan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tanah tersebut akan dipajakkan kepada PKPS selama 21 tahun dan PKPS perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 orang peneroka yang memohon.

Amirudin Shari
Amirudin Shari

"Hasil daripada perundingan antara pihak PKPS dan kesemua kumpulan peneroka berminat, mencapai kata sepakat bahawa mereka bersetuju untuk mendaftar sebagai pemajak melalui PKPS.

"Untuk makluman, isu membabitkan 96.4 ekar ini pada masa sama juga dapat menyelesaikan isu penerokaan haram berlaku di kawasan PKPS seluas 795.76 ekar iaitu di kawasan sama.

"Justeru, jumlah keseluruhan pertikaian tanah antara peneroka yang berjaya diselesaikan di Ladang Tennamaran adalah berjumlah 892.16 ekar," katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada April lalu, isu berkaitan pertikaian pajakan tanah Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor telah dibangkitkan oleh peneroka Ladang Tennamaram.

Ketika itu kumpulan peneroka terbabit meminta campur tangan kerajaan Selangor berhubung pertindihan permohonan tanah diusahakan mereka dengan dua buah syarikat diberikan pajakan.

Susulan itu, Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) ditubuhkan pada 3 Mei bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan yang terdiri daripada lima anggota jawatankuasa termasuk Unit Integriti dan Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Berdasarkan syor dikemukakan oleh Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri pada 19 Ogos, saya telah mengarahkan Setiausaha Politik (Menteri Besar), Juwairiya Zulkifli untuk mengadakan perbincangan dan perundingan antara pihak syarikat, pihak peneroka dengan kehadiran Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor PKPS.

"Seterusnya, hal ini dibawa ke Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang bersidang pada 10 November dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 17 November lalu," kata Amirudin.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada semua pihak terlibat kerana memberikan kerjasama dalam usaha kerajaan negeri mencari jalan tengah untuk menyelesaikan pertikaian mengenai isu tersebut.

Amirudin (tengah) bertemu wakil peneroka di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Amirudin (tengah) bertemu wakil peneroka di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Ini satu lagi bukti komitmen kerajaan negeri yang sentiasa mencari formula terbaik untuk mencari penyelesaian 'menang-menang' dalam memenuhi kepentingan semua pihak," katanya.

Sementara itu, wakil peneroka, Jaya Kumar Vayyapuri berkata, mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri dan PKPS kerana membantu menyelesaikan masalah itu yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Seorang lagi peneroka, Francis Alex Jesurajan berkata, mereka juga sebulat suara menolak campur tangan pihak mengambil kesempatan yang cuba mengeruhkan keadaan kerana mereka mahu meneruskan kehidupan mencari rezeki seperti biasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, Menteri Besar meminta PKPS campur tangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

Beliau berkata, penyelesaian itu hanya akan membuahkan hasil sekiranya kesemua peneroka yang terbabit dapat segera mendaftarkan diri mereka dengan pihak PKPS.

"Ini bagi membincangkan dan memperincikan kawasan tanaman masing-masing agar maklumat yang didaftarkan adalah tepat untuk tindakan lanjut," katanya.