Ibu tunggal kes curi lembu dibebaskan daripada POCA

Laporan Sinar Harian mengenai seorang wanita dikenali sebagai Yuyu yang tular di media sosial kerana didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di sekitar negeri Kelantan ditahan reman empat hari di Mahkamah Majistret Bachok pada 15 Julai tahun lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang wanita dikenali sebagai Yuyu yang tular di media sosial kerana didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di sekitar negeri Kelantan ditahan reman empat hari di Mahkamah Majistret Bachok pada 15 Julai tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal dua anak yang pernah tular dan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) berkait siasatan kes kecurian lembu di negeri ini pada tahun lalu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Wanita dikenali sebagai Yuyu berusia 30 tahun itu dibebaskan Hakim Datuk Roslan Abu Bakar selepas membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang dikemukan dengan menamakan responden-responden iaitu Pengerusi Lembaga Pencegahan Jenayah, Abdul Rasid Sudin (pertama); Lembaga Pencegahan Jenayah (kedua); Ketua Polis Selangor (ketiga); Ketua Polis Negara (keempat) dan kerajaan Malaysia (kelima).

Pemohon diwakili peguam Shaharuddin Mohamed manakala responden-responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Farah Ezlin Yusop Khan.

Roslan dalam keputusan itu memutuskan Perintah Pengawasan Polis di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) bertarikh 14 Disember 2020 terhadap wanita tersebut adalah tidak sah dan terbatal.

“Sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan dalam Perintah Pengawasan Polis berkenaan adalah tidak sah dan terbatal.

“Saya juga memutuskan satu deklarasi bahawa pemohon bebas serta-merta daripada syarat-syarat sekatan di bawah Perintah Pengawasan Polis berkenaan dengan kos permohonan sebanyak RM8,000 diberikan kepada pemohon dan tertakluk pada empat peratus peruntukan,” katanya dalam keputusan secara dalam talian di sini pada Selasa.

Beliau membuat keputusan itu setelah mendengar dan menimbangkan hujahan lisan, hujahan bertulis, afidavit dan eksibit kedua-dua pihak.

“Saya memutuskan perkara ini berdasarkan isu-isu antaranya pihak responden yang menafikan hak pemohon di bawah Seksyen 28A (2)(b) Kanun Tatacara Jenayah berkaitan hal tidak dapat berkomunikasi dengan peguam serta keluarga yang diakui oleh peguam cara responden-responden sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Atas penelitian saya mendapati berlaku suatu ketidakpatuhan kepada peruntukan Seksyen 28A KTJ berhubung dengan hak pemohon kepada peguam dan keluarga serta kawan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita dikenali sebagai Yuyu yang tular di media sosial kerana didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di sekitar negeri ini ditahan reman empat hari di Mahkamah Majistret Bachok.

Wanita itu ditahan bersama seorang lagi rakan wanita berusia 22 tahun di Paka, Terengganu sehari sebelum direman.