Omicron: KKM tentukan sekatan keluar, masuk negara

Hishammuddin. Foto Bernama
Hishammuddin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi mandat untuk menentukan sekatan keluar dan masuk sempadan negara susulan penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang ditemui di Afrika Selatan baru-baru ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 (SOP) pada Selasa.

Menurutnya, KKM turut diberi mandat untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara tersebut.

"Mesyuarat hari ini membuat keputusan bahawa kawalan sempadan negara perlu lebih ketat dan mandat diberikan kepada KKM untuk menentukan tindakan yang selanjutnya berhubung kait dengan keluar masuk sempadan dan apa jua SOP yang perlu diumumkan.

"Daripada apa yang kita pantau, di rantau ini dan di dunia, kita berada di dalam keadaan yang sama dengan negara paling awal memerhatikan varian baharu ini.

"Ini juga satu petunjuk yang baik kerana kita berada di landasan yang sentiasa mengikuti perkembangan berhubung kait penularan Covid-19 ketika ini," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Pada 26 November, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak akan dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara susulan penularan varian Omicron tersebut.

Artikel Berkaitan:

Varian Omicron atau juga dirujuk dengan strain baharu Covid-19 itu sebagai B.1.1.529, pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) muncul di Afrika Selatan pada 24 November lalu selain turut dikesan di beberapa negara lain termasuk Belgium, Hong Kong, Britain, Jerman, Itali dan Israel.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi 'spike' protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India.