Jelajah Dunia Akhir BWF: Zii Jia berpeluang lolos separuh akhir

Zii Jia - Foto AFP
Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN lelaki utama negara, Lee Zii Jia mampu menarik nafas lega apabila tidak diundi satu kumpulan dengan pemain nombor satu dan dua dunia, Viktor Axelsen dan Kento Momota pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia bermula pada Rabu.

Pemain yang menghuni ranking kelapan dunia itu dilihat tidak berdepan laluan sukar kerana diundi dalam Kumpulan B bersama K Srikanth dari India, Kunvalut Vitidsarn (Thailand) dan Toma Junior Popov (Perancis).

Axelsen dan Momota yang dilabel sebagai pilihan untuk mara ke separuh akhir selepas kedua-dua pemain itu diundi dalam Kumpulan A bersama seorang lagi pemain Denmark Rasmus Gemke dan Lakshya Sen (India).

Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula diundi dalam kumpulan sama dengan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam Kumpulan A, bersama gandingan keempat dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dan Mathias Christiansen-Alexandra Boje (Denmark).

Bagi saingan beregu lelaki pula, pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin diundi dalam Kumpulan B bersama Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan (Indonesia) dan Christo Popov-Toma Junior Popov (Perancis).

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berdepan tugas berat apabila diundi bersama pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Apriyani Rahayu (Indonesia), pasangan keempat dunia, Kim Soyeong-Kong Heeyong (Korea Selatan) dan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (Thailand) di ranking kesembilan dunia.

Pemain yang menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan akan layak ke separuh akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan: