Sanggup redah perjalanan jauh untuk ke mesyuarat

Mohd Hairi (duduk, tengah) ketika siri jelajah beliau ke bahagian Pemuda Johor di Mersing.
Mohd Hairi (duduk, tengah) ketika siri jelajah beliau ke bahagian Pemuda Johor di Mersing.
A
A
A

MERSING - Pemuda UMNO Johor yakin dengan barisan kepimpinan Pemuda Bahagian Mersing yang dilihat masih jelas berpegang kuat bersama parti keramat UMNO meskipun dua wakil rakyat keluar parti.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Sah berkata, beliau berpuas hati dengan penerangan dan pandangan dilontarkan dari akar umbi sempena siri jelajah beliau ke daerah itu.

Menurutnya, kegigihan ditunjukkan Pemuda hadir ke mesyuarat juga dihargai meskipun terpaksa mengambil masa lebih satu jam perjalanan.

"Saya agak terkilan sedikit di Mersing dua wakil rakyat yang berhijrah dengan alasan tidak masuk akal.

"Kenapa saya katakan begitu? Bila melihat pada mesyuarat kita dan saya bertanya dari mana awak datang? Ada mengatakan dari pulau dan ambil masa satu hingga dua jam nak ke mesyuarat.

"Ada melalui darat pun ada mengambil masa yang sama ke pejabat bahagian Mersing. Ini jelas menunjukkan mereka yang berada di bawah terlalu kuat dengan pegangan bersama parti keramat UMNO," katanya.

Tambahnya, melihat kesungguhan Pemuda kawasan berkenaan, wakil rakyat perlu lebih bertanggungjawab dan wajar meletakkan jawatan.

Jelasnya, apa diharapkan Pemuda Mersing akan meneruskan perjuangan walaupun tentera yang tinggal hanya lima orang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, kedatangannya ke Mersing adalah bagi meneruskan jelajah beliau ke bahagian Pemuda Johor.

Katanya, ia bertujuan mengambil maklum serta memantau lebih dekat tentang Pemuda bahagian itu sendiri dari masa ke semasa.