Pengarah Yayasan Islam Terengganu meninggal dunia

Kenangan bersama Allahyarham di Hari Raya Aidilfitri pada 2019. -Foto: Ihsan keluarga Allahyarham.
Kenangan bersama Allahyarham di Hari Raya Aidilfitri pada 2019. -Foto: Ihsan keluarga Allahyarham.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Johan Ibrahim meninggal dunia di wad Hospital Sultanah Nurzahirah ( HSNZ), pada awal pagi Selasa.

Allahyarham Johan, 58, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.58 pagi dan perkara itu disahkan oleh anak keduanya, Mohd Rafiuddin Jazlan Johan, 27.

Menurut Mohd Rafiuddin Jazlan, sebelum ini Allahyarham Johan dimasukkan ke wad HSNZ selepas disahkan positif Covid-19.

"Hari ini, sudah hari kesembilan Allahyarham ditahan di wad dan mungkin disebabkan Allahyarham antara golongan berisiko kerana menghidap penyakit kencing manis, jadi agak sukar untuk dia pulih.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham walaupun masih lagi terkejut dengan berita pemergian ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Katanya, Allahyarham bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Masouuud, Kampung Gong Tok Nasek, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, pada Selasa.

Allahyarham Johan meninggalkan seorang balu, Roslina Nik, 58 dan lima anak terdiri daripada dua perempuan dan tiga lelaki berusia dari 19 hingga 29 tahun.

Allahyarham Johan dilantik memegang jawatan tersebut berkuatkuasa pada 1 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2022.

Artikel Berkaitan: