Mahkamah arah aset Sajat disita, dilelong

Nur Sajat
Nur Sajat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa mengarahkan harta milik usahawan kosmetik yang diburu, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat disita.

Tindakan itu bertujuan bagi menuntut pampasan berjumlah RM200,000 yang gagal dibayar Nur Sajat kepada bekas stokisnya, OWA Resources Sdn. Bhd.

Menurut Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang juga pengeluar perintah tersebut, Farah Wahida Md Nor, arahan itu juga dikeluarkan susulan kegagalan Nur Sajat membayar jumlah penghakiman pada Disember lalu.

Arahan sita itu dikeluarkan di kediaman Nur Sajat pada jam 10.30 pagi Selasa di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya lagi, arahan itu juga berikutan Nur Sajat yang dikatakan gagal memberikan sebarang maklum balas untuk membayar pampasan apabila gagal sewaktu sesi rayuannya April lalu.

Difahamkan, Nur Sajat gagal membekalkan bengkung dan girdle kepada stokisnya, berdasarkan apa yang dipersetujui.

Sementara itu, peguam yang mewakili pihak OWA Resources Sdn Bhd, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli berkata, penyitaan akan turut dibuat terhadap aset lain sekiranya ia tidak mencukupi membayar hutang saman.

Menurut mereka, barang-barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.

Artikel Berkaitan:

“Writ penyitaan dan penjualan telahpun ditampal di premis defendan pada hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini,”

“Sekiranya jumlah pungutan wang hasil dari lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang telah disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual,” tambah Nurul Hafidzah dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Sajat bakal tersenarai dalam kalangan individu muflis selepas menjalani beberapa dakwaan di mahkamah.

Ini termasuk tindakannya yang telah melarikan diri ke beberapa negara bagi tujuan untuk mendapatkan perlindungan dan lolos daripada pihak berkuasa. - Awani