X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Pihak pendakwaan silap hujah, kata peguam Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bagi menghadiri prosiding hujahan kes mahkamah.
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bahawa pasukan pendakwaan melakukan kesilapan kerana menghujahkan bahawa sumbangan yang diterima Yayasan Akalbudi adalah membabitkan aktiviti haram.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika hujahan di akhir pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Hisyam berkata, tindakan pendakwaan yang bersandarkan kepada peruntukan Seksyen 4(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan merumuskan bahawa terdapat aktiviti haram dan salah di sisi undang-undang, adalah tidak mempunyai asas.

Ini kerana katanya, adalah jelas bahawa Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh Presiden UMNO itu, menerima sumbangan daripada Yayasan Albukhary.

Malah beliau berkata, saksi pendakwaan ke-81, pengurup wang, Omar Ali Abdullah mengakui sumber wang yang dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi adalah dari Yayasan Albukhary.

“Omar Ali mengaku dia terima wang tunai daripada Yayasan Albukhary kemudian menukarkannya dalam bentuk cek dan ia dilakukan atas inisiatif sendiri, bukan atas arahan Ahmad Zahid.

“Ini bermakna, Omar Ali tidak melakukan sebarang kesalahan perbankan dalam menukar wang tunai berjumlah RM5 juta kepada bentuk cek,” katanya.

Sebaliknya, Hisyam berkata, pendakwaan gagal memperincikan wang yang diterima malah ia tidak pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

ARTIKEL BERKAITAN: Saksi beritahu tiada unsur rasuah pada Ahmad Zahid: Peguam

Ahmad Zahid tahu penyelewengan dana Yayasan Akalbudi

Sehubungan itu, Hisyam menghujahkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dipertuduhkan terhadap anak guamnya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding di hadapan hakim Sequerah bersambung Isnin depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!