Kerajaan digesa naik taraf sistem JPJ

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menyediakan peruntukan untuk menaik taraf perkhidmatan dalam talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MySikap mengikut keperluan semasa bagi mencapai sistem pendigitalan yang lengkap.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pada tahun 2010 JPJ dijanjikan peruntukan sebanyak RM420 juta bagi membangunkan pendigitalan MySikap yang moden tetapi bajet itu dipotong saat akhir kepada RM282 juta sahaja.

“Banyak elemen sistem yang dirancang terpaksa digugurkan menyebabkan portal tersebut tidak lengkap, tetapi tetap diteruskan sehingga kini.

“Dengan situasi pandemik yang melanda negara pada tahun lalu menyebabkan warga JPJ juga resah dengan kualiti sistem yang separuh lengkap ini dan sudah digunakan hampir 10 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terkilan dengan sistem dan kemudahan di Ibu Pejabat JPJ Johor di Taman Daya di sini yang dianggap kuno.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, JPJ sentiasa menerima peruntukan yang terhad daripada kerajaan walaupun merupakan penyumbang kutipan hasil ketiga negara yang tertinggi.

Katanya, perkara itu perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan di Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya kebajikan pegawai dan kakitangan JPJ seiring dengan cabaran tugas masa kini.

“Pejabat-pejabat JPJ juga perlu dinaik taraf kerana sebahagiannya sudah terlalu lama serta bentuk perkhidmatan untuk lebih 20 tahun yang memerlukan pembaharuan baharu selain terdapat banyak lagi pejabat berstatus sewaan.

Artikel Berkaitan:

“Ini menjadikan sistem kerja menjadi kurang kondusif. Contohnya, JPJ Galeria yang sempit dan tidak sesuai permintaan perkhidmatan di Putrajaya sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, staf dan perjawatan pegawai JPJ begitu terhad sekitar 8,700 orang bagi agensi kutipan hasil ketiga berbanding Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang seramai 13,000 orang.

“JPJ Negeri Johor misalnya belum diisikan lagi jawatan timbalan pengarah. Ini amat membebankan pengarah yang bekerja tanpa timbalan dengan pelbagai urusan.

“Cuepacs yakin jika perkara ini diberikan perhatian, JPJ akan lebih cemerlang dengan produktiviti yang tinggi dan boleh mencapai hasil melebihi bilion ringgit serta penguatkuasaan yang mengurangkan kadar kematian di jalan raya,” jelas beliau.