Johor peruntuk RM1.5 juta bantu koperasi terjejas akibat Covid-19

Mohd Izhar (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Johor 2020 di Hotel Throve, pada Selasa.
Mohd Izhar (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Johor 2020 di Hotel Throve, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor memperuntukkan dana sebanyak RM1.5 juta bagi membantu operasi koperasi kecil dan mikro di bawah pendapatan RM1 juta di negeri ini yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan menerusi geran permulaan modal bernilai RM5,000.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 170 koperasi, namun keutamaan hanya diberikan kepada koperasi yang mempunyai masalah aliran tunai kritikal.

"Sekarang dalam proses kelulusan daripada 170 koperasi yang memohon dan tersenarai untuk Program Prihatin Koperasi ini.

"Sekiranya layak, setiap koperasi akan diberi geran bernilai RM5,000 untuk penyusunan semula dan bertahan," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Koperasi Terbaik Johor 2020 di Hotel Throve di sini pada Selasa.

Mohd Izhar berkata, bantuan berkenaan juga diberikan bagi membolehkan industri itu terus bertahan selain melihat daripada kadar kemerosotan untung koperasi di negeri ini yang direkodkan pada tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan kira-kira 1,456 koperasi di Johor yang mencatatkan kemerosotan ketara sebanyak 30 peratus dengan nilai keseluruhan hanya RM630 juta dicapai pada tahun lalu.

"Jika pada tahun 2019, pendapatan keseluruhan koperasi ini mencecah RM974 juta, tetapi pada tahun lalu nilai pendapatan keseluruhan ialah RM630 juta.

Artikel Berkaitan:

"Untuk tahun ini, kita sedang mengumpul data keuntungan dan pendapatan koperasi seluruh Johor di mana sehingga Jun lalu, kita telah menyemak 60 peratus koperasi dan menjangkakan trend pendapatan meningkat hingga lima peratus,” katanya.

Katanya, daripada jumlah 1,456 itu sebanyak 153 koperasi yang direkodkan terjejas paling teruk sepanjang pandemik Covid-19 ini adalah melibatkan koperasi daripada perkhidmatan perhotelan dan pelancongan.