Bahasa Malaysia atau Inggeris, Sarawak ada pilihan: Wan Junaidi

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sarawak mempunyai pilihan untuk menggunakan kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, di bawah Artikel 161 Perlembagaan Persekutuan berhubung perlindungan bagi Sabah dan Sarawak, menyatakan bahawa Sarawak mempunyai kebebasan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris dan juga bahasa asal, bersama dengan bahasa Malaysia sebagai medium rasmi komunikasi.

Katanya, sehingga hari ini, Sarawak tidak pernah meluluskan sebarang ordinan atau enakmen bagi mengehadkan atau memansuhkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi sebagaimana yang dinyatakan dalam Artikel 161(3) Perlembagaan Persekutuan, Jawatankuasa Antara Kerajaan (ICG) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Menurut beliau, Seksyen 1(2) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak 1971) memperuntukkan bahawa merujuk kepada Sabah dan Sarawak, masing-masing pihak berkuasa negeri boleh menerima pakai Akta Bahasa Kebangsaan menerusi enakmen perundangan masing-masing negeri.

“Ini bermakna jika dilihat dengan lebih teliti terhadap perkataan yang terkandung dalam Akta Bahasa Kebangsaan, Sarawak mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada menerima pakai bahasa kebangsaan, yakni bahasa Malaysia, atau meneruskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.

“Ketika ini tidak ada sebarang ordinan atau akta yang dikemukakan atau diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Wan Junaidi, Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi bagi semua tujuan rasmi dengan beberapa had yang dinyatakan dalam Seksyen 2(1) berhubung kedudukan bahasa kebangsaan Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun Sarawak tidak menerima pakai Akta Bahasa Kebangsaan kerana undang-undang diluluskan di Dewan undangan Negeri untuk megembangkan Akta berkenaan ke Sarawak sebagaimana yang diperlukan dibawah Artikel 152 yang dibaca bersama dengan Artikel 161 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu Sarawak, tidak seperti lain-lain negeri dalam persekutuan, tidak diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan dalam tujuan rasminya,” tambahnya. -Bernama