X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Majlis Konvokesyen UTeM ke-16 pada 9 hingga 12 Disember ini

Konvokesyen UTeM kali ke-16 membabitkan 2,979 graduan bagi tahun 2020 dari peringkat diploma, sarjana muda, sarjana, ijazah doktor falsafah (PhD) dan ijazah doktor kejuruteraan.Gambar hiasan
A
A

MELAKA - Selepas setahun tertangguh akibat pandemik Covid-19, majlis konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan dilangsungkan pada 9 hingga 12 Disember ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Ghazali Omar berkata, konvokesyen kali ke-16 itu membabitkan 2,979 graduan bagi tahun 2020 dari peringkat diploma, sarjana muda, sarjana, ijazah doktor falsafah (PhD) dan ijazah doktor kejuruteraan.

“Biasanya majlis dibuat selama tiga hari sahaja, namun bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pengajian Tinggi, kami lanjutkan sehari lagi di samping mengurangkan bilangan kehadiran ibu bapa dan pelajar.

“Ini supaya dewan tempat berlangsungnya upacara tersebut dapat menampung keperluan dan patuh SOP yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar pemakluman Majlis Konvokesyen UTeM ke-16 di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Zulkfilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr Md Nazri Othman; dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti), Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff.

Beliau bagaimanapun berkata, ibu bapa graduan yang tidak dapat memasuki dewan utama konvokesyen masih boleh menyaksikan perjalanan istiadat penganugerahan tersebut yang ditayangkan secara langsung di dewan bersebelahan.

Konvokesyen yang melibatkan lapan sesi itu akan menyaksikan 2,254 graduan ijazah sarjana muda, selain diploma (512), ijazah sarjana (190), PhD (21) dan ijazah doktor kejuruteraan (dua) menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan.

Tambah Ghazali, Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri dan Hadiah Khas Industri juga akan dianugerahkan pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Md Nazri berkata, Pesta Konvo UTeM sempena majlis konvokesyen tersebut diteruskan namun diadakan secara maya.

“Buat pertama kali Pesta Konvo dianjurkan secara maya dan dijenamakan semula sebagai TUAH Pesta Konvo 2021 secara Maya (TUAH VCF 21) yang semua program dibuat dalam talian melalui Facebook Live MyHEP UTeM,” katanya.

Antara program yang dianjurkan sepanjang TUAH VCF 21 adalah gerai jualan dan pameran, Virtual Night Walk with Dean, TUAH National and Culture Awareness serta pertandingan e-sukan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!