Ahli perniagaan lapor polis dakwa permohonan buka stesen minyak bocor

Peguam yang mewakili Strategik Transforms Sdn Bhd (STSB), Izzat Zabir menerangkan laporan polis yang dibuat kepada kakitangan STSB.
Peguam yang mewakili Strategik Transforms Sdn Bhd (STSB), Izzat Zabir menerangkan laporan polis yang dibuat kepada kakitangan STSB.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mendakwa teraniaya selepas maklumat sulit permohonan bagi membuka sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan telah dibocorkan oleh pegawai di sebuah kementerian kepada pihak ketiga.

Pengarah Strategik Transforms Sdn Bhd (STSB), Nur Ahlina Abdul Aziz berkata, kebocoran maklumat itu diketahui selepas peguam syarikat pihak ketiga mengaku bahawa mereka telah dimaklumkan kementerian berkenaan tentang permohonan pembukaan stesen minyak baharu tersebut.

"Lebih mengejutkan lagi, permohonan yang dibuat secara dalam talian melalui kementerian itu bertarikh 31 Mei lalu, tiba-tiba telah ditarik balik daripada sistem pada 9 Julai lalu tanpa pengetahuan pemohon," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Nur Ahlina turut mempersoalkan bagaimana maklumat permohonan bagi membuka stesen minyak itu yang sepatutnya sulit antara pemohon dan kerajaan boleh diketahui pihak ketiga.

"Saya berharap, pihak berkuasa menyiasat kebocoran maklumat ini kerana ia boleh menjadi ancaman kepada peniaga lain serta industri petroleum negara,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat ke atas salah laku terhadap pihak agensi kerajaan terbabit, pegawai-pegawai mereka serta syarikat pembekal minyak petrol yang berkaitan di Balai Polis Nilai pada 17 November lalu.

"Berikutan kebocoran maklumat itu, laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan terhadap pihak berkenaan," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, satu lagi laporan polis dibuat oleh seorang pengarah syarikat pemegang francais salah satu pembekal minyak petrol, Ismail Holdings Sdn Bhd (IHSB) berhubung isu penamatan kontrak dan penutupan sementara stesen minyak di lokasi sama pada 22 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Abdur Rahman berkata, penamatan kontrak stesen minyak IHSB telah diberitahu melalui surat kepadanya 26 Januari lalu, menyebabkan syarikat itu terpaksa memohon penutupan sementara kepada kementerian berkaitan.

"Sebaliknya wakil syarikat pembekal minyak petrol tersebut melalui seorang pengurus telah menghantar surat kepada kementerian terbabit memberitahu bahawa mereka tidak mengetahui mengenai penutupan stesen minyak berkenaan menyebabkan IHSB telah didakwa di mahkamah.

"Pada masa yang sama, pihak IHSB telah berkali-kali memohon penutupan kerana adalah mustahil untuk terus beroperasi apabila kontrak telah ditamatkan," jelasnya.

Ismail berkata, pihaknya membuat laporan polis kerana mengesyaki berlaku penipuan oleh pihak berkenaan sehingga syarikatnya menjadi mangsa tindakan undang-undang daripada pihak kerajaan kerana menutup operasi tanpa kebenaran.

“Saya berharap kes ini disiasat dengan adil, kerana ada kemungkinan terdapat penipuan dan penyelewengan serta konspirasi berniat jahat untuk menjatuhkan perniagaan saya.

"Saya juga khuatir rakan-rakan peniaga minyak petrol yang lain mungkin mengalami penindasan dan masalah yang sama dengan pihak-pihak syarikat pembekal serta pihak kementerian terbabit," katanya.