Hati-hati sindiket sewa tanah untuk lupus sisa toksik

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai khususnya penduduk kampung di negeri ini diminta supaya berhati-hati dan tidak terpedaya berikutan terdapat sindiket yang dikenal pasti menyewa tanah mereka untuk melupuskan sisa toksik.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sindiket terbabit turut menjadikan tanah yang disewa sebagai transit untuk melaksanakan perbuatan tersebut.

Menurut beliau, maklumat tersebut sebahagian besarnya diperoleh hasil daripada aduan orang ramai yang mengesan taktik kotor sindiket terbabit.

"Kita percaya sindiket berkenaan adalah daripada pemilik kilang-kilang haram yang tidak mendapat kelulusan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau perkara itu dan kita harap orang ramai akan terus membuat aduan kepada jabatan tersebut jika mengesan perbuatan sindiket berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, sindiket tersebut dikesan tidak menggunakan nama syarikat mereka sebaliknya melantik ejen bagi melupuskan sisa toksik berkenaan.

"JAS sebelum ini telah menangkap sindiket membuang sisa toksik dan ada antara mereka telah didakwa di mahkamah atas kesalahan itu.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah kita minta orang ramai yang mengesan taktik sindiket ini (lupus sisa toksik) segera melaporkan kepada JAS untuk kita ambil tindakan," tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar memberitahu, kerajaan negeri berkemungkinan menaikkan kadar denda yang lebih tinggi atas kesalahan pencemaran alam sekitar demi memberi kesedaran kepada semua pihak.

"Ia penting kerana kita mahu kilang-kilang di negeri ini melaksanakan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau," jelasnya.