Belum ada pelan senarai hitam syarikat kredit kejar peminjam

Yamani Hafez - Foto Bernama
Yamani Hafez - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KUMPUR - Kerajaan ketika ini belum ada pelan tindakan untuk senarai hitam syarikat kredit yang ‘kejar’ peminjam khususnya pengusaha bas sekolah yang tidak dapat membayar pinjaman disebabkan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, ini kerana semua aspek perlu dipertimbangkan sebelum sesebuah keputusan dibuat.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (ketika itu) pada Januari 2021 sebagai salah satu inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi membantu pengusaha bas dan teksi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Di bawah skim ini, pengusaha teksi dan bas termasuk bas persiaran, bas ekspres dan bas sekolah, boleh memohon untuk menstruktur semula pinjaman bagi pembelian bas dan teksi mereka dengan moratorium diberikan selama 12 bulan dan bayaran balik bulanan yang lebih rendah daripada syarikat-syarikat kredit sebagai pembiaya.

“Bagi tujuan ini, kerajaan telah menyediakan jaminan sehingga 50 peratus daripada jumlah had pembiayaan sebanyak RM1 bilion. Setakat ini, belum ada pelan tindakan untuk blacklist (senarai hitam) syarikat kredit,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta kementeriannya menyatakan apakah jenis bantuan geran, 'one-off' atau pinjaman kepada pengusaha bas sekolah dalam tempoh pandemik Covid-19 dan pasca Covid-19 serta apakah pelan tindakan untuk 'blacklist' syarikat kredit yang menghantui mereka yang tidak dapat membayar pinjaman yang diambil disebabkan pandemik ini.

Mengulas lanjut, Yamani Hafez berkata, kerajaan melalui kementeriannya sentiasa prihatin dengan beban dan kesukaran yang dihadapi pengusaha bas terutamanya bas sekolah susulan pandemik yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak hampir dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan: