1,372 Geran Padanan Digitalisasi PKS diterima sehingga akhir Oktober

Teng Chang Khim
Teng Chang Khim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerima sejumlah 1,372 permohonan Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor bagi tempoh sehingga 30 Oktober lalu dalam membantu mendigitalisasikan perniagaan usahawan terlibat.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 793 permohonan dengan jumlah peruntukan RM3.8 juta diluluskan bagi bantuan itu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan bagi geran padanan berkenaan juga adalah RM5 juta secara keseluruhan.

"Kelulusan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor yang dilancarkan pada April 2021 dijalankan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh bekas Ketua Pegawai Operasi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Datuk Ng Wan Peng dan Pengarah Urusan The Hive Southeast Asia Datuk Syed Haizam Jamalullail, yang merupakan salah satu daripada lapan pemodal teroka pilihan,” katanya ketika menjawab soalan mulut oleh Muhammad Hilman Idham (Bersatu-Gombak Setia) berhubung usaha kerajaan negeri bagi meningkatkan produktiviti IKS.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata, permohonan paling banyak diterima adalah membabitkan pemasaran digital (40.7 peratus), diikuti oleh sistem perakaunan (20.9 peratus), sumber manusia dan sistem payroll (16.6 peratus), e-Dagang (10.7 peratus) dan E-PoS System (11.2 peratus).

"Selangor International Business Summit (SIBS) yang dianjurkan setiap tahun juga adalah untuk menyediakan satu platform perbincangan dan perkongsian maklumat kepada usahawan IKS agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

“SIBS 2021 yang baru selesai dianjurkan secara fizikal pada 18-21 November lalu di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan menyediakan 472 tapak pameran serta menerima lebih dari 25,000 orang pengunjung,” katanya.

Tambah beliau, SIBS 2021 juga akan diteruskan di portal perdagangan rasmi Selangor iaitu www.selangorbusinesshub.my selama setahun.

Artikel Berkaitan: