Croatia tumbangkan Itali, mara ke separuh akhir Piala Davis

Nikola Mektic (kiri) bersama pasangannya Mate Pavic dari Croatia mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Davis. - Foto ATP Tour
Nikola Mektic (kiri) bersama pasangannya Mate Pavic dari Croatia mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Davis. - Foto ATP Tour
A
A
A

CROATIA menjadi pasukan pertama melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Davis apabila menyingkirkan pasukan pilihan Itali dalam saingan suku akhir.

Kejayaan itu hadir selepas juara beregu lelaki Olimpik, Nikola Mektic dan Mate Pavic menewaskan gandingan Jannik Sinner dan Fabio Fognini 6-3, 6-4, sekali gus mengecewakan harapan peminat tuan rumah.

Terdahulu, Itali yang merupakan pasukan pilihan mengungguli kejuaraan terpakksa berputih mata apabila Lorenzo Sonego kalah mengejut kepada pemain nombor 279 dunia, Borna Gojo pada aksi perseorangan pertama di Turin.

"Jujur, ia sangat menakjubkan apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

"Saya tidak fikir sesiapapun akan menjangkakan kami mara sejauh ini dan ia rasa sangat hebat untuk ke Madrid," kata Mektic

Croatia dijangka berdepan Serbia yang diketuai Novak Djokovic atau Kazakhstan di separuh akhir yang berlangsung di Madrid, Sepanyol dalam misi memburu kejuaraan Piala Davis ketiga dan kedua dalam tiga peringkat acara selepas kali terakhir menjulang trofi itu pada 2018.

Kemenangan itu juga memastikan Croatia menempah slot pada pusingan akhir Piala Davis tahun depan, dengan empat pasukan yang mara ke separuh akhir layak secara automatik.

"Ia perlawanan yang sangat sengit dan pemain berjaya berjuang dengan baik. Saya sangat gembira," kata kapten Croatia, Vedran Martic.

Artikel Berkaitan: