NS catat terimaan bukan hasil berjumlah RM51 juta

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah terimaan bukan hasil sebanyak RM51 juta atau 82.5 peratus daripada sasaran belanjawan sejak Januari hingga 31 Oktober lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM47.7 juta adalah terimaan daripada kerajaan Persekutuan melibatkan pemberian hitung kepala bernilai RM18.7 juta dan pemberian 50 peratus perbelanjaan mengurus jabatan di bawah senarai bersama (RM21 juta).

“Ia turut merangkumi pemberian kos perkhidmatan bagi pelaksanaan projek Persekutuan oleh negeri (RM7.4 juta) dan pemberian cukai pelancongan (RM545,896).

“Selain itu, terimaan bukan hasil juga diperoleh menerusi bayaran balik pinjaman oleh badan-badan berkanun negeri sebanyak RM1.5 juta membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (RM723,714), Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (RM543,907) dan Majlis Bandaraya Seremban (RM200,000),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Serting) mengenai jumlah terimaan bukan hasil daripada agensi kerajaan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat bagaimanapun berkata, kerajaan negeri dijangka tidak akan menerima bayaran bagi pemberian pertambahan hasil sebanyak RM7.5 juta akibat masalah kecairan tunai kerajaan Persekutuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: