RMK12: Efluen industri berpusat bakal dibina

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (kiri) meninjau Sungai Langat semasa majlis perasmian Denai Sungai Langat di Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (kiri) meninjau Sungai Langat semasa majlis perasmian Denai Sungai Langat di Bandar Baru Bangi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Pembinaan efluen industri berpusat akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai cara mengelakkan pencemaran daripada kilang-kilang yang berhampiran sungai.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang perlu memantau kilang yang berpotensi membuang sisa toksik dari premis ke dalam sungai.

Menurut beliau, sistem buangan efluen berpusat akan dibina di setiap kawasan yang digazetkan sebagai kawasan industri bagi mengawal sistem toksik daripada kilang sebelum ia masuk ke dalam sungai.

"Apa yang kita boleh buat ialah setiap kawasan yang digazetkan sebagai kawasan industri, kita akan bangunkan sistem buangan efluen berpusat supaya kita boleh kawal daripada kilang sebelum ia turun ke sungai.

"Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan sungai daripada tercemar disebabkan oleh kilang-kilang perindustrian.

"Kita akan perbanyakkan rancangan untuk melestarikan sungai kita termasuk penguatkuasaan kepada semua kilang-kilang berpotensi mencemarkan sungai yang perlu diperketatkan," katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Denai Sungai Langat, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang membuat aduan berkenaan pencemaran sungai dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertindak pantas menjalankan siasatan segera kes pencemaran yang dilaporkan.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu-isu berkenaan pencemaran alam sekitar, khususnya melibatkan rezab sungai.

Artikel Berkaitan:

"Saya tegaskan bahawa kita tidak kompromi terhadap isu pencemaran dan saya ucap terima kasih kepada masyarakat awam yang membuat aduan berkenaan perkara tersebut.

"Saya sangat berpuas hati dengan usaha pantas pegawai-pegawai JPS yang turun pada hari sama laporan dibuat dan menjalankan siasatan segera kerana jika bukti tersebut hilang, sukar untuk kita membuat pendakwaan kepada premis yang disyaki mencemarkan sungai," katanya.

Pada Selasa, Tuan Ibrahim merasmikan Projek Denai Sungai Langat di sini sepanjang empat kilometer ini mula dibina sejak bulan Ogos lalu dengan peruntukan sebanyak RM560,000.

Katanya, projek tersebut turut mendapat sokongan daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan badan korporat seperti UMW Corporation Sdn. Bhd. dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).