X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Fasa pertama program basmi kemiskinan tegar bermula Mac 2022

Mustapa Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 50 lokaliti di seluruh negara akan dikenal pasti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) pada pertengahan Disember ini bagi pelaksanaan fasa pertama program pembasmian kemiskinan menggunakan pendekatan keseluruhan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, senarai lokaliti akan diverifikasi dengan kerjasama kerajaan negeri pada penghujung tahun ini sebelum program serta strategi dirangka berdasarkan keperluan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing pada Januari depan.

Beliau berkata, seterusnya strategi dan program pembasmian kemiskinan tegar fasa pertama itu dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri pada Februari sebelum pelaksanaan program di 50 lokaliti di seluruh negara yang dijangka pada Mac 2022.

“Pelaksanaan pendekatan baharu ini akan dipantau setiap tiga bulan bagi memastikan intervensi yang berkesan sekiranya pencapaiannya kurang memuaskan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) mengenai strategi dan pelan tindakan diambil kerajaan dalam mencapai sasaran miskin tegar sifar pada 2025 seperti dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Kemiskinan tegar adalah isi rumah yang berpendapatan sebanyak RM1,169 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga.

Mustapa berkata, selain 50 lokaliti yang terpilih itu, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan baharu berkenaan akan melibatkan penyertaan menyeluruh dan bersepadu daripada kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor swasta, universiti, syarikat berkaitan kerajaan serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).

“Di bawah RMK12, strategi menyeluruh meliputi projek dan program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi, sama ada di bandar atau luar bandar.

Bagi menjamin pelaksanaan lebih berfokus, Mustapa berkata, Unit Kemiskinan ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 8 November lepas selain beberapa negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!