Varian Omicron: Biden minta rakyat AS tidak panik

Joe Biden - Foto AFP
Joe Biden - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Isnin memberitahu rakyatnya supaya tidak panik ekoran penemuan varian Covid-19 yang baharu dan diberi nama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Omicron.

Varian itu yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan baru-baru ini tetapi telah pun muncul di beberapa buah negara dan dianggap oleh Biden sebagai membimbangkan tetapi tidak sehingga menyebabkan panik.

Beliau menegaskan AS berada dalam keadaan terbaik untuk mengawal penularan Omicron tanpa melakukan 'lockdown' atau melaksanakan lebih banyak sekatan perjalanan.

Buat masa ini, Washington melaksanakan sekatan perjalanan daripada pengembara yang datang dari lapan buah negara Afrika.

"Kita kini mempunyai banyak peralatan untuk memerangi varian itu," katanya menerusi ucapan yang disiarkan di telvisyen.

Turut bersama Biden ialah Naib Presiden AS, Kamala Harris dan Ketua Penasihat Perubatan Presiden negara itu, Anthony Fauci.

Sebelum ini, negara itu, Kanada dan Kesatuan Eropah telah menghalang kemasukan pengembara dari Afrika Selatan dan tujuh buah negara dari benua itu ekoran penemuan varian baharu tersebut. - Agens

Artikel Berkaitan: