X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Pengantin baharu maut, tak sempat langsung majlis bertandang

Wan Ahmad Aizat ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pasir Mas pada Isnin menunjukkan gambar arwah semasa akad nikah baru-baru ini.
A
A

PASIR MAS - Mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Galok, Pasir Mas-Tanah Merah di sini pada petang Isnin tidak sempat melangsungkan majlis bertandang yang dijadualkan pada Jumaat ini.

Allahyarham Wan Ahmad Haziq Wan Abdul Razak, 25, yang melangsungkan majlis pernikahan pada Jumaat lalu terlibat dalam kemalangan selepas selesai menguruskan urusan pelamin untuk majlis bertandang tersebut.

Adiknya, Wan Ahmad Aizat Wan Abdul Razak, 23, berkata, sebelum kejadian, dia sempat bersarapan pagi bersama arwah abangnya itu.

Wan Ahmad Aizat yang bekerja sendiri berkata, dia sepatutnya pulang ke Perak kerana ada urusan kerja, namun membatalkan niatnya kerana berasa tidak sedap hati.

"Saya tidak sedap hati, sepatutnya selepas makan pagi saya kemas barang untuk balik ke Perak, tapi saya batalkan niat dan keluar untuk beli barangan bertandang untuk majlis arwah pada Jumaat ini.

"Arwah pun selepas makan pagi, dia keluar menyelesaikan urusan pelamin untuk majlis bertandang dan bercadang untuk pulang ke rumah isterinya di Jeli selepas semua urusan selesai.

"Lebih kurang jam 4.30 petang, isteri arwah telefon beritahu mereka kemalangan tetapi dia hanya mengalami kecederaan ringan. Tapi kondisi abang saya memang agak teruk menyebabkan saya terdiam dan kaku," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas di sini pada Isnin.

Wan Ahmad Aizat berkata, Allahyarham sangat teruja dan gembira ketika berkahwin.

Malah, katanya, pada minggu lalu hampir setiap hari arwah menghubunginya untuk berkongsi kegembiraan tersebut.

Wan Ahmad Aizat berkata, arwah abangnya juga memberitahu bahawa dia mahu memakai pakaian putih untuk majlis pada Jumaat ini.

"Dia ada kata nak pakai baju putih untuk majlis 'menghantar' nanti. Rupanya itu salah satu petanda yang kami semua tidak perasan sehinggalah dia sudah tiada.

"Dalam kumpulan WhatsApp keluarga pun dia ada kata rindu nak 'melepak' dengan kawan-kawan. Malah, turut berkongsi gambarnya di pelamin seorang diri yang diambil pada hari pernikahan pada Jumaat lalu," ceritanya.

Menurutnya, arwah yang juga anak keenam daripada lapan beradik adalah seorang yang mudah mesra dan sangat taat pada ibu bapa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kemalangan pada jam 4.45 petang itu melibatkan dua kenderaan.

Beliau berkata, kenderaan dipandu Allahyarham dari arah Tanah Merah menghala ke Pasir Mas.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan kenderaannya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kenderaan lain.

"Mangsa dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pasir Mas untuk mendapat rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 6.50 petang dan dibawa ke unit forensik untuk bedah siasat," katanya.

Allahyarham Wan Ahmad Haziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, Kota Bharu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!