Messi menang Ballon d'Or kali ketujuh

Messi bersama trofi yang dimenanginya semasa majlis Ballon d'Or ke-65 di Paris pada Isnin. - Foto AP
Messi bersama trofi yang dimenanginya semasa majlis Ballon d'Or ke-65 di Paris pada Isnin. - Foto AP
A
A
A

PENYERANG Argentina, Lionel Messi memenangi Anugerah Ballon d'Or buat kali ketujuh mengatasi calon pilihan lain seperti Robert Lewandowski dan Jorginho.

Penyerang itu menambah koleksi trofi tersebut yang dimenanginya pada 2009, 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019 selepas menjadi juara Copa America buat kali pertama bersama negaranya Julai lalu.

"Sangat menakjubkan saya dapat berada di sini lagi. Dua tahun lalu saya fikir ia merupakan terakhir, namun saya rasa memenangi Copa America bersama Argentina adalah kunci saya dapat anugerah ini.

“Ia adalah tahun istimewa untuk saya dengan gelaran Copa America ini. Ia sangat bermakna untuk menang di stadium Maracana dan saya sangat gembira untuk meraikannya bersama rakyat Argentina.

“Saya tidak tahu sama ada ia adalah tahun terbaik dalam hidup saya, saya mempunyai kerjaya yang panjang, tetapi ia adalah tahun istimewa dengan gelaran bersama Argentina selepas menempuhi tempoh yang sukar dan pelbagai kritikan,” katanya.

Messi, yang menyertai Paris Saint Germain (PSG) secara percuma dari Barcelona pada musim ini berjaya mengumpul 613 mata, manakala pemain Bayern Munich, Lewandowski berada di tempat kedua dengan mengutip 580 mata dinamakan sebagai penyerang terbaik.

Pemain Itali, Jorginho yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea dan kejuaraan Eropah bersama Itali, menduduki tempat ketiga dengan 460, di hadapan dua pemain Karim Benzema dan Ngolo Kante yang masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Bagi anugerah Ballon d'Or wanita ia menjadi milik pemain tengah Sepanyol, Alexia Putellas selepas berjaya membawa skuad wanita Barcelona menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah

Artikel Berkaitan:

“Saat penting untuk saya layak memenangi anugerah ini ialah perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Olympique Lyonnais,” katanya.

Putellas merupakan pemenang ketiga Ballon d'Or wanita selepas Ada Hegerberg pada 2018 dan Megan Rapinoe pada 2019.