Gaji pemain Perak FC tertunggak dibayar dalam masa 10 hari

IMC yang merupakan pemilik baharu Perak FC berhasrat melangsaikan gaji pemain yang tertunggak dalam tempoh 10 hari. - Foto fail/Bernama
IMC yang merupakan pemilik baharu Perak FC berhasrat melangsaikan gaji pemain yang tertunggak dalam tempoh 10 hari. - Foto fail/Bernama
A
A
A

IMPACT Media & Communication Sdn Bhd (IMC) yang merupakan pemilik baharu Perak FC akan membuat pembayaran gaji pemain pasukan berkenaan yang tertunggak dalam tempoh 10 hari.

Pengarah, Perkongsian dan Jualan Penajaannya, Muhammad Yunus Zakariah berkata, penangguhan pembayaran dibuat bagi mendapatkan nilai kolektif baki bayaran pemain yang tertunggak.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum mempunyai perincian jumlah keseluruhan gaji pemain dan baki kontrak mereka.

"Kita berhasrat untuk melangsaikan segala hutang selewat-lewatnya dalam masa 10 hari. Pihak Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) sudah dihubungi mengenai perkara tersebut dan esok pagi (Selasa), surat akan dihantar.

"Jika nilai keseluruhan tunggakan tidak tinggi, kita akan bayar 'lump sum' dari bulan Ogos sehingga November," katanya kepada Sinar Harian di Ipoh pada Isnin.

Beliau berkata, sekiranya nilai tersebut tinggi, mungkin pihaknya akan mencadangkan pembayaran dibuat untuk dua bulan terlebih dahulu.

Mengenai perkembangan proses pembelian Perak FC daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Muhammad Yunus berkata, perkara itu sedang dipercepatkan dan dalam masa terdekat.

Jelas beliau, memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai bagi memuktamadkan penjualan kepada IMC.

Artikel Berkaitan:

Selepas pembayaran tunggakan gaji selesai, katanya, tumpuan akan terarah kepada persiapan pasukan menjelang sepak mula liga pada musim hadapan.