X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Varian Omicron: Rakyat perlu lebih waspada

Rakyat tidak boleh ambil mudah tentang varian Omicron walaupun dalam keadaan kita bebas bergerak ketika ini. - Foto Bernama
A
A

VARIAN baharu Covid-19, Omicron yang kini sudah mula menjangkiti penduduk Hong Kong pastinya membuatkan rakyat Malaysia juga perlu lebih berwaspada.

Ekoran keadaan itu, kerajaan juga telah mengingatkan rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak itu.

Bahkan, kerajaan turut menyarankan rakyat mengambil dos penggalak Covid-19 sebagai langkah melindungi diri.

Peringatan itu disuarakan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Isnin susulan varian baharu yang ditemui di Afrika Selatan itu telah memasuki Hong Kong dan semakin menghampiri negara ketika ini.

"Sebab itu kerajaan hari ini sangat prihatin dan telah memulakan langkah kawalan ketat dengan tidak membenarkan orang daripada kawasan tertentu yang ada jangkitan Omicron ini datang ke Malaysia.

"Mereka yang datang akan dibuat ujian calitan dan akan dikuarantin selama 14 hari. Jadi saya hendak terangkan sekali lagi bahawa pentingnya kita mengambil dos penggalak demi keselamatan bersama," katanya di Dewan Rakyat.

Malah, pelbagai langkah segera lain juga telah dilakukan kerajaan untuk mengelakkan varian yang cepat bermutasi dan dikatakan lebih berbahaya daripada varian Delta itu daripada memasuki negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) pada Isnin juga dilaporkan akan meningkatkan pengawasan genomik di pintu-pintu masuk antarabangsa untuk memastikan kewujudan varian baharu Omicron dapat dikesan dengan cepat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini kerajaan berjaya meningkatkan kapasiti analisis jujukan genom penuh kepada 1,500 sampel sebulan.

Tindakan pantas yang dilakukan KKM itu bagi memastikan gelombang baharu penularan Covid-19 yang berpunca daripada varian baharu berkenaan dapat dielakkan.

Negara sememangnya tidak mahu lebih ramai nyawa terkorban akibat penularan varian Omicron apatah lagi berdasarkan laporan media, jumlah mutasi luar biasa dikesan pada varian baharu B.1.1.529 terbabit.

Varian itu menimbulkan kebimbangan kepada penyelidik berikutan sistem imunisasi manusia berkemungkinan sukar untuk mengawal jangkitannya.

Pakar Mikrobiologi, Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Umi Kalsom Ali berkata, walaupun jumlah mutasi bukan penentu kepada tahap bahaya sesuatu varian, namun jumlah mutasi luar biasa mewujudkan kebimbangan.

Berikutan penularan varian baharu itu juga, banyak negara telah melakukan sekatan kemasukan dari Afrika Selatan dan negara sekitarnya kerana ia berpotensi memberi tamparan hebat kepada usaha dunia untuk menamatkan pandemik Covid-19.

Negara-negara yang melakukan sekatan itu termasuklah Amerika Syarikat, Brazil, Kanada dan Arab Saudi.

Oleh itu, rakyat tidak boleh ambil mudah tentang varian berkenaan walaupun dalam keadaan kita bebas bergerak ketika ini kerana jika alpa kemungkinan kebebasan itu hanya seketika.

Daftarlah nama dalam senarai menunggu pusat pemberian vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta sebagai ikhtiar untuk terus meningkatkan sistem imuniti badan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!