Piala Dunia Remaja: Skuad negara waspada provokasi Perancis

Skuad negara sudah bersedia menyaingi Perancis pada saingan suku akhir Piala Dunia Remaja 2021. - Foto Malaysian Hockey Confederation (Gambar kecil: Vikneswaran)
Skuad negara sudah bersedia menyaingi Perancis pada saingan suku akhir Piala Dunia Remaja 2021. - Foto Malaysian Hockey Confederation (Gambar kecil: Vikneswaran)
A
A
A

PERANCIS yang akan ditentang skuad negara dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia Remaja disifatkan sebuah pasukan yang serba lengkap memandangkannya dibentuk sebagai persediaan untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara ini diakui pengurus skuad remaja negara I Vikneswaran, namun menegaskan skuad kendalian Wallace Tan tersebut sudah cukup bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyaingi gergasi Eropah tersebut.

"Semua pihak menyifatkan kemenangan Perancis ke atas juara bertahan India dalam aksi Kumpulan B sebelum ini merupakan perlawanan one off, namun sebenarnya tidak kerana skuad Perancis yang hadir ke Bhubaneswar merupakan pasukan persiapan untuk ke Paris 2024.

"Malah kami percaya Perancis akan menggunakan kelebihan fizikal untuk menyaingi para pemain negara pada perlawanan berintensiti tinggi ini, jadi untuk itu kami perlu lebih bersedia berdepan cabaran tersebut selain percaturan taktikal dan strategi pasukan yang dirangka Wallace Tan.

"Para pemain negara juga telah diingatkan tidak melayan sebarang provokasi-provokasi yang dijangka dilakukan para pemain Perancis bagi menjejaskan tumpuan sepanjang perlawanan," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Anak buah Wallace Tan akan berentap dengan Perancis dalam pemburuan slot separuh akhir kejuaraan yang berlangsung di Bhubaneswar, India pada Rabu.

Skuad negara sebelum itu mengesahkan slot suku akhir selepas melakar kemenangan 4-3 ke atas Afrika Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A, pada Sabtu.

Untuk rekod skuad negara menyingkap tirai kempen Kumpulan A dengan langkah kanan apabila menewaskan Chile 2-1, kemudian diikat naib juara 2016, Belgium, 1-1 sebelum mengesahkan slot suku akhir apabila melakar kemenangan 4-3 ke atas Afrika Selatan dalam aksi terakhir kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Malaysia menamatkan kempen kumpulan di tangga kedua kumpulan apabila berkongsi tujuh mata Belgium, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan yang memihak juara kumpulan tersebut.

Mengenai status terkini para pemain yang mengalami kecederaan Vikneswaran berkata: "Ya, semasa perlawanan menentang Afrika Selatan beberapa pemain negara mengalami kecederaan, namun pasukan perubatan diketuai doktor dari Institut Sukan Negara sentiasa memantau proses pemulihan para pemain.

"Boleh saya katakan bahawa para pemain sudah bersiap sedia berdepan Perancis, pada hari ini semua pemain giat menjalani aktiviti recovery. Kami menjangkakan beberapa pemain yang mengalami kecederaan akan pulih sepenuhnya menjelang perlawanan menentang Perancis," katanya.

Untuk rekod, skuad negara sebelum ini menetapkan sasaran mara ke suku akhir dalam saingan yang bermula pada 24 November lalu.