X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Perjanjian Grantor Laluan RTS kukuh kerjasama Malaysia-Singapura

Usaha untuk merealisasikan Laluan RTS diteruskan dengan Perjanjian Grantor sebagai langkah utama dalam kemajuan projek mercu tanda itu.
A
A

SINGAPURA - Kerjasama pengangkutan antara Singapura dan Malaysia diperkukuhkan lagi sejak minggu lalu di tengah-tengah pandemik Covid-19 susulan pemuktamadan Perjanjian Grantor Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura pada 24 November.

Perjanjian itu menetapkan tanggungjawab Grantor dalam melaksanakan peranan dan obligasinya berkaitan dengan Perjanjian Konsesi yang dimuktamadkan pada 30 Julai, 2020, apabila Projek Laluan RTS disambung semula.

Grantor adalah Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia - dua pihak berkuasa konsesi bagi kedua-dua kerajaan.

Selain itu, perjalanan antara kedua-dua negara juga mendapat rangsangan daripada pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) oleh Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Woodlands Checkpoint, pagi ini.

“Kita sangat mengalu-alukan pencapaian terbaharu ini dalam usaha bersama kita untuk merancakkan kembali hubungan ekonomi kita dan menghubungkan semula rakyat kita susulan impak daripada pandemik,” kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong daam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin.

Ka Siong berkata, usaha untuk merealisasikan Laluan RTS diteruskan dengan Perjanjian Grantor sebagai langkah utama dalam kemajuan projek mercu tanda itu.

“Kita juga gembira dengan permulaan VTL bagi perjalanan menerusi jalan darat dan udara antara Malaysia dan Singapura bagi menghidupkan kembali hubungan budaya dan ekonomi kita yang telah lama terjalin merentasi Tambak,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan sejawatannya dari Singapura untuk meneruskan momentum bagi menambah baik hubungan dan kerjasama pengangkutan.

Laluan RTS adalah perkhidmatan kereta api rentas sempadan antara stesen Singapura di Woodlands North dan stesen Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Dengan kapasiti besar sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, Laluan RTS akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru, apabila ia memulakan perkhidmatan penumpang pada akhir 2026.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran berkata, kemajuan dalam projek Laluan RTS serta penyambungan semula perjalanan udara dan darat antara kedua-dua negara adalah kunci bagi memulihkan hubungan dan merancakkan kembali ekonomi.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan rakan sejawatan saya Dr Wee untuk mengukuhkan lagi kerjasama pengangkutan dan hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!