Cheng Hoe puas hati persiapan Harimau Malaya

Para pemain Harimau Malaya ketika sesi pertama kem latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). - Foto Football Association of Malaysia
Para pemain Harimau Malaya ketika sesi pertama kem latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

PERSIAPAN skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik biarpun sesi latihan penuh pasukan masih belum dapat dijalankan menjelang kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura awal bulan depan,

Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe berkata, pasukan masih memberikan fokus kepada latihan kecergasan dalam kelompok kecil dan akan mula mempraktikkan aspek taktikal permainan sebaik rata-rata pemain dapat dikumpulkan Rabu ini, sehari selepas final Piala Malaysia.

Justeru, beliau mengharapkan anak buahnya termasuk baki pemain yang menyertai kemudian dapat mengekalkan tahap kecergasan selain bebas daripada kecederaan bagi mengelakkan sebarang masalah di saat-saat akhir yang dikhuatiri mampu menjejaskan pasukan.

"Sudah tentu kita harapkan pemain-pemain berada dalam situasi terbaik kerana kita sudah kesuntukan masa. Saya mengharapkan pemain-pemain bebas kecederaan dan bersedia untuk aksi pertama menentang Kemboja pada 6 Disember.

"Kita tak boleh kata pemain berada pada tahap 50 peratus kerana setiap hari mereka menunjukkan prestasi terbaik dan yang penting setiap pemain yang datang mempunyai satu impian dan juga semangat untuk memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pertama kem latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

Ketika ini, 15 daripada 28 pemain disenaraikan telah melapor diri, namun penyerang Petaling Jaya City FC Darren Lok terpaksa digugurkan daripada skuad ke Singapura susulan kecederaan otot perut yang dialami semasa sesi latihan Fasa 1 yang bermula Isnin lalu.

"Atas nasihat pasukan perubatan, beliau tidak dapat bersama dengan skuad kebangsaan. Ini berita yang sedih sebab selama ini beliau tunjukkan prestasi terbaik,” kata Cheng Hoe.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pengendali berusia 53 tahun itu memaklumkan pemain Terengganu FC (TFC) Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar yang dijadualkan melapor diri diberi pelepasan sehari selepas mengadu tidak sihat.

Skuad kendalian Cheng Hoe kini menanti tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dua pemain Kuala Lumpur City FC yang terlibat dengan aksi final Piala Malaysia 2021, sebelum 24 pemain termasuk empat lagi pemain berpangkalan di luar negara yang berada dalam senarai, akan dipilih membawa cabaran di Singapura.

Kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari tahun depan dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.