Nazri Aziz akui terima sumbangan daripada kontraktor projek terowong

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Isnin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau menerima sumbangan daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan kontraktor projek terowong dasar laut serta jalan utama di Pulau Pinang.

Ketika mendedahkan perkara itu, Mohamed Nazri, 67, berkata, sumbangan itu adalah bagi pembinaan sekolah agama di selatan Thailand iaitu Pattani.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim Guan Eng pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Kepada soalan Gobind sama ada beliau menerima apa-apa bayaran untuk kes ini (projek terowong), Mohamed Nazri menjawab "Tidak."

Saksi itu juga menafikan bahawa beliau ada menerima wang RM500,000 daripada Zarul Ahmad.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, Zarul Ahmad mempunyai pengetahuan bahawa sumbangan itu adalah untuk pembinaan sekolah agama di Pattani.

Disoal Wan Shaharuddin sama ada sumbangan itu berbentuk sedekah, Mohamed Nazri menjawab, “Saya berasal dari Hulu Perak, saya orang Melayu berketurunan Pattani.

Saya melawat Pattani sejak 1975, terdapat banyak sekolah pondok yang daif maka bermula tahun 1990-an, saya melibatkan diri untuk mendapatkan sumbangan untuk membina sekolah di selatan Thailand.”

Artikel Berkaitan:

Ketika membacakan pernyataan saksi, Mohamed Nazri sebelum itu berkata, beliau mula mengenali Zarul Ahmad pada awal 1990-an sebagai ahli perniagaan melalui kawan lama dan mereka sering bertukar pendapat berkaitan isu semasa negara.

“Selepas perkenalan tersebut, saya mengetahui Zarul Ahmad mempunyai beberapa syarikat di Malaysia. Antara syarikat yang dimiliki beliau ialah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Saya memang kenal rapat dengan Zarul Ahmad tetapi bukan dari segi politik atau perniagaan.

“Saya tidak ada sebarang urusan perniagaan dengan beliau.

Saya kenal rapat dengan Zarul Ahmad atas urusan peribadi dan sosial.

Sepanjang perkenalan saya dengan beliau, saya tahu beliau pernah bekerja dengan pelbagai agensi dan syarikat,” katanya.

Mohamed Nazri juga berkata, Zarul Ahmad ada menyatakan kepadanya bahawa beliau mahu berkenalan dengan ‘orang kuat’ di Pulau Pinang untuk membantu ahli perniagaan itu membuat projek namun tidak menyatakan projek apa.

“Selepas itu, saya mengambil inisiatif untuk menghubungi Guan Eng dan memberitahunya bahawa ada seseorang mahu berjumpa dengan beliau berkaitan projek di negeri itu.

Guan Eng bersetuju untuk berjumpa dengan Zarul Ahmad.

Saya telah menetapkan perjumpaan mereka pada awal Januari 2011 di Hotel Shangri La di Kuala Lumpur.

Saya tidak ingat tarikh sebenar kejadian itu.

“Pada awal Januari 2011, saya telah berjumpa dengan Guan Eng di sebuah pub di Hotel Shangri La.

Saya tidak ingat mengenai perancangan perjumpaan di pub itu tetapi saya dan Guan Eng memang berjumpa di pub berkenaan kira-kira jam 9 malam.

"Selepas berjumpa Guan Eng kira-kira 10 minit, Zarul Ahmad yang datang berseorangan duduk semeja bersama saya dengan Guan Eng.

Selain memperkenal Zarul Ahmad kepada Guan Eng, saya memang tidak ada sebarang urusan lain dengan Guan Eng.

Guan Eng adalah kenalan saya dalam bidang politik," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak ingat sama ada Zarul Ahmad ada meminta Guan Eng untuk memilih syarikatnya dalam apa-apa projek di Pulau Pinang sepanjang perjumpaan selama sejam itu.

“Seingat saya, saya juga pernah berjumpa Guan Eng dan Zarul Ahmad pada Mac 2011 di sebuah restoran Itali di Kuala Lumpur tetapi saya tidak ingat sama ada saya ada menghubungi Guan Eng atau Zarul Ahmad untuk berjumpa di restoran itu. Saya tidak ingat pukul berapa mereka berdua balik dari restoran itu,” katanya.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan negeri Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada Selasa. - Bernama