Nazir jelas kekeliruan mengenai Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik

Mohamed Nazir Tun Razak
Mohamed Nazir Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak tampil menjelaskan tentang salah tanggapan berhubung cadangan penubuhan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik atau ‘Better Malaysia Assembly’ dan warkah yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 28 Oktober 2021.

Menurutnya, warkah kepada Seri Paduka Baginda itu merupakan cadangan untuk mewujudkan BMA dan disokong oleh 55 orang penandatangan.

“Tiada sebarang anggapan bahawa mereka semua (yang menandatangani warkah), malah seorang pun dalam kalangan mereka bakal menjadi anggota BMA.

“Warkah tersebut secara jelas menyatakan pemilihan anggota perhimpunan BMA harus mengikut proses yang melibatkan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan masyarakat sivil.

Proses tersebut dipercayai dapat menghasilkan corak keanggotaan yang mencerminkan masyarakat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Rabu lalu, Nazir pada program bual bicara 'Eksklusif Bersama Nazir Razak: Ada apa dengan nama Nazir Razak’ mendedahkan warkah cadangan penubuhan BMA telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan ia menerima pelbagai komen termasuk ada yang menyokong dan ada yang membantah.

Beliau berkata, penandatangan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan sekumpulan warga Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan pandangan yang bersuara bersatu demi kepentingan nasional.

Malah, katanya, beberapa orang penandatangan pada awalnya enggan berkongsi platform yang sama dengan mereka yang lain namun mereka akhirnya mampu mengatasi keresahan tersebut demi kepentingan negara serta selaras dengan prinsip demokrasi perundingan iaitu golongan yang bertentang pandangan dapat berbahas secara sivil untuk mencapai penyelesaian dan ruang kompromi.

Artikel Berkaitan:

Nazir menegaskan, BMA merupakan sebuah platform demokrasi perundingan (deliberative democracy) yang menjadi ciri penting demokrasi di banyak negara kebelakangan ini.

”Kaji selidik Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) baru-baru ini mendapati 289 platform sedemikian di beberapa negara untuk membantu kerajaan dan Parlimen menangani isu jangka panjang yang rumit.

Oleh demikian, BMA merupakan platform yang sesuai beroperasi dalam struktur proses demokrasi Malaysia,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, walaupun pihaknya mengalu-alukan sokongan ahli politik dan parti politik untuk cadangan itu, kami terus tegas dalam mengekalkan BMA sebagai projek bebas daripada kesemua parti politik.

Malaysia kini berdepan dengan saat-saat paling mencabar dalam sejarah negara dan saya percaya kita akan menghampakan negara serta generasi masa hadapan sekiranya kita tidak memberikan cadangan seperti BMA pertimbangan yang terperinci dan sewajarnya.

“Saya juga berharap cadangan penubuhan BMA dapat menerima komen dan pandangan daripada orang ramai di www.mybettermalaysia.com,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Syed Saddiq sokong tubuh Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik

ARTIKEL BERKAITAN:55 tokoh pelbagai bidang, latar belakang bersatu bentuk kumpulan musyawarah demokrasi