Hasil pemantauan di pasar bantu kerajaan stabilkan harga barang

Shahril (kiri) bersama pasukan KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertanya peniaga mengenai harga ayam ketika melakukan pemantauan di Pasar Keramat pada Isnin.
Shahril (kiri) bersama pasukan KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertanya peniaga mengenai harga ayam ketika melakukan pemantauan di Pasar Keramat pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Hasil pemantauan harga barang yang dilakukan di pasar-pasar seluruh negara akan membantu koordinasi pelbagai agensi kerajaan dalam usaha untuk menstabilkan harga barang ekoran lonjakan harga yang dilaporkan ketika ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau sendiri berkesempatan memantau harga barang makanan seperti ayam, telur dan sayur-sayuran bersama pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diketuai Pengarahnya, Ariffin Samsudin di Pasar Keramat pada pagi Isnin

“Tidak boleh dinafikan, harga barang ada kenaikan walaupun tak sekata, terutamanya apabila kos yang ditanggung oleh peruncit itu sendiri naik. Insya-ALLAH dapatan-dapatan di lapangan akan membantu koordinasi pelbagai agensi untuk berusaha menstabilkan harga.

“Walaupun mengambil maklum kenaikan harga komoditi di pasaran antarabangsa di luar kawalan dalaman, faktor pencatutan dalam rantaian nilai (selain peladang/petani dan peruncit) juga tidak boleh ditolak,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurutnya, ekoran kenaikan harga barang itu, beliau juga difahamkan KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi-agensi berkaitan akan melipatganda tindakan ke arah cadangan intervensi untuk dipertimbangkan pihak kerajaan.

“Saya difahamkan aktiviti penguatkuasaan akan terus diperhebat di seluruh saluran rangkaian makanan, dari peladang, pengedar, sehinggalah peruncit,” katanya.

Artikel Berkaitan: