Aksi akhir KL City FC - JDT umpama 'buku bertemu ruas'

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

ANTARA Kuala Lumpur (KL) City FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT), pasukan mana akan bergelar juara pada perlawanan akhir ulang tahun ke-100 Piala Malaysia di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam esok?

Menjanjikan aksi menarik, epik dan menggembirakan, pertembungan esok yang dijadual bermula 9 malam dianggap umpama ‘buku bertemu ruas’, apabila kedua-dua pasukan itu memiliki rekod cemerlang tanpa kalah dalam 10 perlawanan sepanjang saingan Piala Malaysia.

Berdasarkan statistik, kadar kemenangan skuad Harimau Selatan dalam kempen kejohanan berprestij itu lebih tinggi iaitu 80 peratus, selain berjaya mengumpul 19 gol dan menjadi pasukan yang mempunyai rekod pertahanan terbaik selepas hanya dibolosi dua gol.

Sementara KL City FC yang telah meledak 17 gol dan bolos enam, memiliki kadar kemenangan sebanyak 60 peratus, namun faktanya tiada pasukan berjaya melakar kemenangan berdepan KL City FC di Kuala Lumpur dalam mana-mana pertandingan musim ini.

Skuad The City Boys tidak pernah tewas di gelanggang sendiri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sepanjang kempen Liga Super 2021 yang menyaksikan keputusan 1-1 dicatat ketika melayani kunjungan JDT, di bawah bimbingan Benjamin Mora, April lalu.

Namun, ketika bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, skuad kendalian Bojan Hodak itu terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-2 selepas jaringan sendiri Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim menjadi perbezaan.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan turut memihak JDT apabila memenangi empat daripada lima pertembungan terakhir, dengan kesemuanya melibatkan perlawanan Liga Super.

Pada perlawanan malam esok, penyerang import dari Colombia Romel Morales sudah pasti menjadi taruhan terbaik KL City FC apabila kini mengungguli carta penjaring terbanyak dengan mengumpul 10 gol manakala penyerang prolifik Bergson da Silva akan mengetuai jentera serangan JDT.

Artikel Berkaitan:

Bergson dilihat berada pada tahap prestasi terbaik selepas meledak tiga jaringan dalam dua aksi separuh akhir menentang Terengganu FC (TFC), sekali gus mengumpul tujuh gol dan berada di belakang Morales dalam persaingan merebut anugerah kasut emas kempen Piala Malaysia.

“Memang kalau di atas kertas JDT ada kelebihan dan sudah tentu kita tahu kualiti setiap pemain JDT, tetapi saya berpendapat KL City FC pun boleh memberikan satu tentangan yang hebat kepada JDT,” kata Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe.

“Sebagai jurulatih kita ingin lihat satu persembahan terbaik, permainan yang menghiburkan lagi-lagi ia perlawanan cukup berprestij disamping ulang tahun ke-100 penganjuran Piala Malaysia. Jadi bagi saya mana-mana pasukan beraksi cemerlang pasti menjadi juara,” kata pengendali berusia 53 tahun itu.

Cheng Hoe pernah membawa pasukan Kedah muncul juara Piala Malaysia pada 2016 selain turut pernah memenangi beberapa edisi kejuaraan itu ketika bergelar pemain skuad Lang Merah pada era 90-an.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan pertama KL City FC dan JDT di perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan melalui penswastaan kelab, namun Johor FA pernah menewaskan Kuala Lumpur FA untuk memenangi Piala Malaysia pada 1985.

JDT muncul juara Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013, manakala ini perlawanan akhir pertama buat KL City FC yang ditubuhkan tahun lepas.

Kuala Lumpur FA pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989 dengan ketiga-tiganya menumpaskan Kedah.

Dalam laluan ke perlawanan akhir ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, JDT mencatat kemenangan dengan agregat 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC di suku akhir sebelum membenam cabaran TFC di separuh akhir (agregat 4-1) sementara KL City FC menewaskan Selangor FC (agregat 3-0) diikuti Melaka United FC 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Perlawanan akhir ini merupakan yang pertama sejak penularan Covid-19 tahun lalu dengan saingan edisi 2020 yang memasuki peringkat kalah mati terpaksa dibatalkan, susulan ketidaktentuan pandemik ketika itu. - Bernama