RMK12: Lebih 19,000 unit rumah disasar dibina, baik pulih di Sarawak

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyatakan jumlah itu meningkat lebih 16 peratus berbanding 17,122 rumah bina baharu dan baik pulih yang dilaksanakan sepanjang tempoh RMK11. - Foto fail Bernama
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyatakan jumlah itu meningkat lebih 16 peratus berbanding 17,122 rumah bina baharu dan baik pulih yang dilaksanakan sepanjang tempoh RMK11. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 19,832 unit rumah disasar akan dibina dan dibaik pulih di Sarawak sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyatakan jumlah itu meningkat lebih 16 peratus berbanding 17,122 rumah bina baharu dan baik pulih yang dilaksanakan sepanjang tempoh RMK11.

“Bagi 2021, sebanyak RM71.7 juta telah diperuntukkan untuk Sarawak dengan RM1.6 juta khusus buat Parlimen Lubuk Antu.

“Ia melibatkan pembinaan 12 unit rumah baharu dan pembaikan 59 unit rumah berbanding RM1.3 juta diperuntukkan bagi pembinaan sembilan unit rumah dan 53 unit baik pulih pada 2020,” menurut kementerian itu dalam jawapan yang disiarkan laman web Parlimen pada Isnin.

KPLB menjawab soalan Jugah Anak Muyang @ Tambat (Bebas-Lubok Antu) mengenai pertambahan dana bagi bantuan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Lubok Antu memandangkan masih ramai pemohon yang layak menerima bantuan itu tidak terpilih.

Sehubungan itu, kementerian akan menambah baik kaedah penyampaian pelaksanaan PPRT terutamanya dalam mengenal pasti kumpulan sasar yang layak dibantu dengan asas pemilihan penerima adalah melalui bank data sistem eKasih.

Bagaimanapun, KPLB masih menerima dan menimbangkan permohonan selain menerusi sistem berkenaan iaitu melalui perakuan dan pengesahan daripada Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah (FGD) atau Negeri (FGN) atau jawatankuasa yang setara dengannya di peringkat negeri atau daerah.

“Selain itu, kementerian turut mengadakan inisiatif ‘search and assist’ (cari dan bantu) oleh pegawai dan agensi kementerian dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

Pemohonan individu juga boleh dibuat secara dalam talian dan akan dipertimbangkan dalam jawatankuasa yang ada di peringkat kementerian berdasarkan syarat yang ditetapkan, menurut KPLB. - Bernama