X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Ismail Sabri sifatkan lawatan rasmi pertama ke Singapura berjaya

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong (kanan) ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan empat mata di Istana hari ini. Foto Bernama
A
A

SINGAPURA -[ DIKEMASKINI] Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan rasmi pertamanya ke negara jiran selatan Singapura sebagai berjaya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Singapura terutama rakan sejawatannya Lee Hsien Loong terhadap sambutan yang sangat mesra dengan semangat kekeluargaan.

“Hubungan kedua-dua negara sangat rapat, sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai sejarah begitu lama,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia sejurus selepas lawatan berakhir.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke republik Singapura sebagai Perdana Menteri, sebagai memenuhi undangan Hsien Loong.

Ia juga lawatan kedua Ismail Sabri ke negara jiran sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos lepas.

Beliau yang tiba di sini awal pagi Isnin turut bersama Hsien Loong melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura di Woodlands Checkpoint.

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, dalam pertemuan empat mata bersama Hsien Loong, pembukaan VTL laut yang menghubungkan Tanah Merah ke Desaru dan juga ‘cruise’ dari Singapura ke Pelabuhan Klang dan Langkawi turut dibincangkan.

“Kita percaya pembukaan lebih banyak akan memberi faedah kepada seluruh negara, bukan saja dari segi pelancongan yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan malah kepada perdagangan,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan sempadan bersama Singapura yang merupakan rakan dagangan Malaysia yang terbesar diyakini akan memberi tempias kepada Johor, khususnya dan kawasan bersempadan seperti Melaka yang merupakan destinasi pilihan rakyat Singapura.

Perdana Menteri juga berkata, kategori pengguna bagi VTL darat mungkin akan diperluas selepas 23 Disember ini, namun ia bergantung kepada kesan pembukaan fasa pertama VTL darat ketika ini.

“Ia sebagai ‘trial basis’ atau percubaan awal untuk melihat kesan kepada pembukaan ini. Kita tidak mahu selepas pembukaan, kes meningkat. Kita akan pantau, dan kita akan buka lebih banyak lagi.

“Jika kes tidak meningkat, lebih banyak ruang yang akan kita berikan untuk melonggarkan perjalanan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Ketika ini inisiatif VTL darat hanya membenarkan pengguna yang merupakan warga Malaysia, Singapura, dan pemastautin serta pemilik Pas Jangka Panjang Singapura dan Malaysia.

Ditanya adakah skim VTL akan diperluas ke negara lain selain Singapura, Ismail Sabri berkata, beliau berharap perbincangan dapat dilakukan dengan negara jiran di utara, Thailand.

Beliau juga berharap untuk mewujudkan lebih banyak laluan seperti ‘green travel bubble’ dengan Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan sebahagian provinsi di China, yang kes Covid-19 di negara masing-masing dilihat terkawal.

Dalam lawatan rasminya ke Singapura pada Isnin, beliau menghadiri majlis sambutan di istana, di sini dengan memeriksa kawalan kehormat dan seterusnya menandatangani buku pelawat.

Perdana Menteri turut diberi penghormatan apabila satu spesies hibrid anggerik baharu dinamakan sempena namanya, dan beliau kemudiannya membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Hadir sama, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!