Penangguhan bayaran CP204, CP500 bagi PMKS

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

PENANGGUHAN bayaran Anggaran Cukai Kena Dibayar (CP204) dan Skim Bayaran Ansuran (CP500) akan diberikan secara automatik kepada pembayar cukai berstatus perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang layak mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, pembayar cukai yang layak adalah berdasarkan rekod atau Borang Nyata Cukai Pendapatan terkini yang diterima lembaga tersebut.

Bagi bayaran CP204, penentuan kriteria perniagaan yang layak mendapat status PMKS adalah syarikat, koperasi, badan amanah dan perkongsian liabiliti terhad yang mempunyai modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta bagi saham biasa pada permulaan tempoh asas untuk suatu tahun taksiran.

Selain itu, entiti berkenaan perlu memperoleh pendapatan kasar perniagaan berjumlah RM50 juta dan ke bawah bagi suatu tahun taksiran.

"Pemakluman berkenaan penangguhan bayaran CP204 kepada pembayar cukai yang memenuhi kriteria akan dihantar melalui e-mel yang berdaftar dengan HASiL (LHDN)," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, LHDN memaklumkan penangguhan bayaran CP500 adalah dibenarkan secara automatik kepada semua pembayar cukai berkenaan bagi bayaran tahun taksiran 2021 (tarikh kena bayar 1 Januari 2022) serta bayaran tahun taksiran 2022 (tarikh kena bayar 1 Mac 2022 dan 1 Mei 2022).

Soalan lazim (FAQ) berkaitan penangguhan tersebut boleh diakses melalui pautan https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/SOALAN_LAZIM_PINDAAN_BAJET_2022_CP204.pdf dan orang ramai boleh hubungi Hasil Recovery Call Centre (HRCC) di talian 03-87511000 untuk maklumat lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: