X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Kuantiti sisa klinikal meningkat tahun lepas: Jabatan Perangkaan

Selangor menyumbang jumlah buangan terjadual tertinggi iaitu 28.5 peratus diikuti Johor (16.8 peratus) dan Negeri Sembilan (16.2 peratus). - Foto 123rf
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan peralatan ujian Covid-19 dalam pengendalian pesakit Covid-19 di kemudahan kesihatan dan pusat kuarantin menyumbang kepada peningkatan kuantiti sisa klinikal yang dijana pada tahun lepas berbanding 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kuantiti sisa klinikal yang dijana pada 2020 meningkat 18.1 peratus kepada 39,883.32 tan metrik berbanding 33,756.99 tan metrik pada 2019.

Beliau berkata, tiga negeri mencatat jumlah penjanaan sisa klinikal tertinggi tahun lepas iaitu Selangor dengan 9,703.41 tan metrik, Sarawak dengan 4,101.96 tan metrik dan Kuala Lumpur 4,073.19 tan metrik.

“Kuantiti sisa terjadual yang dijana industri merekodkan 7,185,227.76 tan metrik pada 2020, meningkat 79 peratus berbanding 4,013,189 tan metrik seperti yang dilaporkan pada 2019.

“Ini disumbangkan oleh industri loji jana kuasa dan loji rawatan air yang dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas Kompendium Perangkaan Alam Sekitar 2021 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Mengikut negeri, Selangor menyumbang jumlah buangan terjadual tertinggi iaitu 28.5 peratus diikuti Johor (16.8 peratus) dan Negeri Sembilan (16.2 peratus).

Mohd Uzir berkata, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, negara juga telah merekodkan lebih jumlah hari bagi kualiti udara berstatus ‘baik’ dan ‘sederhana’.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan paras pencemar udara khususnya di bandar-bandar utama seperti Pasir Gudang, Petaling Jaya, Shah Alam serta Cheras, Kuala Lumpur.

“Penurunan ini adalah disebabkan pengurangan aktiviti dan pengurangan pelepasan bahan pencemar ke udara seperti perlepasan asap kenderaan bermotor, pelepasan asap cerobong industri dan aktiviti pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, bahan pencemar udara seperti habuk halus (PM10 dan PM2.5), ozon aras tanah (O3), karbon monoksida (CO) dan sulfur dioksida (SO2) menunjukkan trend menurun semasa pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebaliknya, bahan pencemar udara ini meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana lebih banyak perniagaan dibenarkan beroperasi dan kurang sekatan ke atas pergerakan.

Mohd Uzir berkata, PKP juga telah memberi kesan kepada kualiti air sungai pada 2020 berbanding 2019 dan hasil pemantauan Jabatan Alam Sekitar terhadap 144 lembangan sungai menunjukkan 104 atau 72.2 peratus lembangan sungai berada dalam kategori bersih berbanding 85 lembangan pada 2019.

Dalam pada itu, beliau berkata, norma baharu seperti bekerja dari rumah, program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dan perintah pergerakan terhad yang menempatkan orang ramai di kediaman mereka menyebabkan penggunaan air bermeter bagi sektor domestik meningkat sebanyak 5.2 peratus tahun lepas.

“Bagaimanapun, sektor bukan domestik menurun sebanyak lapan peratus pada 2020 berbanding 2019 berikutan perniagaan terjejas akibat PKP seperti waktu perniagaan yang singkat dan beberapa perniagaan telah ditutup sepenuhnya semasa PKP pertama,” katanya.

Kompendium Perangkaan Alam Sekitar Malaysia 2021 memaparkan statistik alam sekitar meliputi enam komponen iaitu keadaan dan kualiti alam sekitar, sumber alam sekitar dan kegunaannya, sisa, kejadian ekstrem dan bencana, penempatan penduduk dan kesihatan persekitaran serta penglibatan, pengurusan dan perlindungan alam sekitar.

Penyusunan statistik ini adalah berdasarkan Framework for the Development of Environment Statistics (FDES), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2013. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!