UNITEN rancang perkenal program Pensijilan Profesional Sains Data

Annuar (kiri) diiringi Hasan (kanan) dan Dr Hazleen ketika melawat tapak pameran selepas melancarkan Persidangan Informatik Visual Antarabangsa Ketujuh 2021 di UNITEN Selasa lalu.
Annuar (kiri) diiringi Hasan (kanan) dan Dr Hazleen ketika melawat tapak pameran selepas melancarkan Persidangan Informatik Visual Antarabangsa Ketujuh 2021 di UNITEN Selasa lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) merancang untuk memperkenalkan program Pensijilan Profesional Sains Data bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan golongan yang hilang pekerjaan atau diberhentikan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, program ini akan memastikan kumpulan sasar dapat ditingkatkan kemahiran dan dilatih semula seterusnya diambil bekerja apabila situasi bertambah baik.

“Saya berbesar hati apabila mengetahui UNITEN merancang untuk melaksanakan program Pensijilan Profesional Sains Data ini yang merangkumi pemikiran komputasional menggunakan Teori Penyelesaian Masalah Inventif (TRIZ),” katanya ketika merasmikan Persidangan Informatik Visual Antarabangsa Ketujuh 2021 (IVIC’21) di UNITEN Putrajaya, pada Selasa lalu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abdul Rahman dan Pengerusi IVIC’21 Ketujuh, Profesor Datuk Dr Halimah Badioze Zaman.

Program Pensijilan Profesional Sains Data itu akan ditawarkan melalui Institut Informatik dan Pengkomputeran Tenaga (IICE) UNITEN bersama rakan kongsi akademik dan industri universiti.

Mengulas lanjut, Annuar menyifatkan, program seperti itu akan menjadi pelaburan bermanfaat dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis dan memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan bagi mendapatkan keputusan kreatif serta inovatif bukan sahaja berdasarkan analisis data tetapi juga kebijaksanaan.

Dalam pada itu, Naib Canselor UNITEN, Profesor Datuk Ir Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, acara tiga hari IVIC’21 yang berakhir Khamis itu mengumpulkan lebih 200 perwakilan dari 18 negara secara maya untuk berbincang mengenai informatik visual.

“IVIC kali ini mendapat rakan kerjasama teramai yang terdiri daripada 21 universiti dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ahli akademik, saintis dan penyelidik yang menghadiri persidangan itu mendapat manfaat daripada rangkaian serta sinergi yang akan membawa kepada penciptaan nilai dalam kalangan peserta dan manusia sejagat.