Kesempitan hidup dorong perolehi STPM cemerlang

Saiful Azri (dua kanan) bersama dua rakannya serta pengetua sekolah, Mohammad (kanan) serta Penolong Kanan Tingkatan 6, Fakaru Azhar.
Saiful Azri (dua kanan) bersama dua rakannya serta pengetua sekolah, Mohammad (kanan) serta Penolong Kanan Tingkatan 6, Fakaru Azhar.
A
A
A

HULU BESUT- Kesempitan hidup keluarga menjadi pembakar semangat kepada Saiful Azri Rosdi, 20, untuk memperolehi keputusan PNGK 4.0 (4A) dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini itu merupakan salah seorang daripada tiga pelajar sekolah itu yang memperolehi keputusan sama.

Anak kepada pasangan petani dan tukang jahit ini berkata, kesungguhannya untuk mendapat keputusan ini adalah untuk mengubah nasib keluarganya.

Bijak mengatur masa belajar, Saiful Azri mengusahakan gerai menjual burger pada waktu malam di hadapan rumahnya di Pasir Akar untuk mencari pendapatan sampingan membantu ibu bapanya.

Dengan hasil berniaga itulah, Saiful Azri gunakan membantu ibu bapanya termasuk membiayai empat adik-adiknya.

Ketika cuti sekolah pula, dia akan bekerja sebagai pembantu kedai pakaian di Jertih.

“Pendapatan ayah dan ibu tak banyak sangat, sebab tu saya kerja,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Dia ditemui selepas menerima keputusan peperiksaan itu di SMK Putra tadi yang disampaikan pengetua sekolah, Mohammad Idris.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Putra, Fakaru Azhar Yunus dan ibu bapa Saiful Azri, Rosdi Yunus, 50 dan Yusmaimi Yusof, 44.

Saiful Azri menjadikan kesusahan itu sebagai dorongan untuk dia belajar bersungguh-sungguh agar memperolehi keputusan cemerlang dan menjadi contoh kepada adik-adiknya.

Krjayaan ini sekali gus akan dapat mengubah nasib keluarganya satu hari nanti.

Berbangga dengan keputusan yang diterima, Saiful Azri berkata, inilah keputusan peperiksaan paling cemerlang yang pernah diperolehi sepanjang persekolahan selama ini.