X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

'Kami akan 'telan' lawan kami' - Mora

Benjamin Mora Mendivil bercakap pada pada Sidang Media Pra-Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021 di Bilik Sidang Media, Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berazam melakukan apa saja demi memastikan mereka membawa pulang trofi Piala Malaysia pada aksi final menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa malam.

Ketua jurulatih Harimau Selatan Benjamin Mora berkata, sebagai juara bertahan, JDT mengekalkan identiti pasukan yang sentiasa dahagakan kejayaan dan bermain dengan taktik agresif dalam pertembungan esok.

“Sudah tentu anda boleh menjangkakan JDT, kami tidak akan berdiam diri untuk menunggu spekulasi dan melihat apa akan berlaku dalam perlawanan ini. Kami akan melakukannya, kami akan ‘telan’ lawan kami dan kami akan menjaringkan gol.

“Itu sahaja caranya untuk menang dalam final, dengan menjaringkan gol. Kami mara ke final untuk menang bukan hanya untuk beraksi,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan akhir di sini pada Isnin.

Selepas meraih beberapa kejuaraan termasuk Piala Malaysia 2019 sejak membimbing skuad Harimau Selatan pada 2018, Mora mengakui adalah sangat penting bagi JDT untuk mengekalkan prestasi optimum walaupun berlaku pertukaran pemain dan barisan kejurulatihan.

Justeru, Mora mengakui kemenangan pada perlawanan akhir menentang KL City FC adalah penting buat pasukan yang sudah mula menjadikan kejayaan merangkul kejuaraan sebagai budaya.

“Motivasi sudah ada, ia bermula dengan saat yang baik, kemudian menjadi tabiat dan tradisi. Sekarang ia sudah menjadi budaya di Johor dan JDT mesti menang dalam apa saja yang kita pertandingkan.

“Ia amat sukar, tekanan adalah tinggi, tapi kami perlu menghadapi tekanan dan perlu menyampaikan kepada pengurusan apa yang diperlukan daripada kami,” kata Mora sambil memaklumkan yang pasukannya bebas daripada sebarang kecederaan dan pemain bermotivasi tinggi.

Sementara itu, kapten JDT, Mohd Farizal Marlias turut mengakui kemenangan pada Selasa malam adalah penting buat pasukan bagi memahat satu lagi kejayaan bersejarah dan percaya barisan pemain sudah bersedia berdepan cabaran skuad The City Boys berdasarkan komitmen diberikan menjelang aksi itu.

“Saya percaya bukan saya seorang saja ingin menang perlawanan esok, esok sangat penting bagi kami dan kelab yang mana kami ingin letak nama JDT sebagai juara Piala Malaysia kerana ia ulang tahun ke-100 tahun. Itu sangat bermakna untuk kami dan kelab,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, JDT tidak boleh mengambil mudah keupayaan KL City FC yang mempunyai kekuatan tersendiri terutama ancaman yang mampu dijelmakan menerusi situasi bola mati.

“Kami pernah bermain dengan KL City FC dua kali dan pernah bolos sekali melalui bola mati, ia menjadi pengajaran kepada kami dan dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh terjadi. Jadi, kita harus lebih fokus untuk tidak membuat kesilapan mudah di hadapan gawang,” kata penjaga gol berusia 35 tahun itu.

JDT muncul juara Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013 manakala bagi KL City FC, ini adalah aksi final pertama selepas pasukan itu ditubuhkan tahun lepas.

Kuala Lumpur FA pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989 dengan ketiga-tiganya menumpaskan Kedah. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!