Public Bank catat pendapatan rendah RM1.36 bilion

No Image Caption
A
A
A

PUBLIC Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.36 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2021, merosot dua peratus daripada RM1.39 bilion pada tahun sebelumnya.

Perolehan berkurangan kepada RM4.81 bilion daripada RM5.13 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Prestasi merosot itu berikutan pendapatan pelaburan yang rendah sebanyak RM99.5 juta (-80.6 peratus) sejajar dengan situasi pasaran yang kurang menggalakkan pada masa ini, pendapatan fi dan pendapatan lain yang rendah sebanyak RM45.6 juta (-6.9 peratus) dan perbelanjaan operasi yang tinggi sebanyak RM27.8 juta (-2.9 peratus).

Ini sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah bersih yang tinggi sebanyak RM140.3 juta (+7.4 peratus), katanya.

Bank itu berkata, keuntungan sebelum cukai untuk sewa beli merosot sebanyak 62.4 peratus kepada RM31.6 juta, berikutan elaun susut nilai pinjaman yang tinggi dibuat dengan jangkaan potensi impak daripada pandemik COVID-19, selain sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah bersih yang tinggi.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai untuk operasi perbendaharaan dan pasaran modal susut 49.7 peratus kepada RM73.6 juta, berikutan pendapatan faedah bersih dan pendapatan pelaburan yang rendah.

Keuntungan sebelum cukai perbankan pelaburan berkurangan 48.6 peratus kepada RM19.7 juta, berikutan pendapatan pembrokeran saham yang rendah, menurut bank itu.

Katanya, keuntungan sebelum cukai untuk ibu pejabat, pusat pembiayaan dan lain-lain merosot sebanyak 0.8 peratus kepada RM148 juta, berikutan pendapatan pelaburan yang rendah, perbelanjaan operasi yang tinggi dan bahagian kerugian syarikat bersekutu.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, keuntungan sebelum cukai untuk operasi runcit meningkat 1.4 peratus kepada RM1.03 bilion, didorong oleh elaun susut nilai pinjaman yang rendah dan pendapatan faedah bersih yang tinggi.

Keuntungan sebelum cukai pinjaman korporat naik 111.6 peratus kepada RM75.1 juta, menurut bank itu, berikutan elaun susut nilai pinjaman yang rendah.

Katanya, keuntungan sebelum cukai perniagaan pengurusan dana meningkat 14.3 peratus kepada RM218.6 juta berikutan fi pengurusan yang tinggi daripada purata nilai aset bersih dana yang tinggi dan perbelanjaan operasi lain yang rendah.

Pada masa sama, keuntungan sebelum cukai operasi di luar negara bank itu meningkat 18.3 peratus kepada RM173.3 juta berikutan elaun susut nilai pinjaman yang rendah dan pendapatan faedah bersih yang tinggi.

Dalam kenyataan, Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, dengan asasnya yang berdaya tahan, kumpulan terus berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi sebarang cabaran pada masa depan dan memacu pertumbuhan perniagaan dalam negara menuju ke arah pemulihan pasca pandemik.

“Walaupun persekitaran terus mencabar, Public Bank Group akan kekal teguh dalam usahanya untuk mengukuhkan lembaran imbangannya, mengekalkan kualiti asetnya yang kukuh selain meningkatkan lagi kecekapan kos.

“Dalam menerima perubahan berikutan pandemik, kumpulan akan meneruskan usahanya untuk transformasi digital dan inovasi produk untuk mengukuhkan pertumbuhan perniagaan jangka panjang,” katanya. - Bernama