X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

RM620 juta bina lima IPD baharu

Hamzah (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen pada Majlis Penyerahan Projek IPD di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Isnin.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak lima ibu pejabat polis daerah (IPD) sedang dibina di seluruh negara dan dijadualkan siap pada tahun 2022 serta 2024 dengan melibatkan kos RM620 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pembinaan IPD Muallim, Perak dengan kos RM85 juta dijadual siap pada 10 Julai tahun depan selain IPD Jeli, Kelantan (RM130.3 juta) dijadual siap pada 31 Ogos tahun depan.

"Selain itu IPD Lawas, Sarawak (RM138.07 juta) dijadual siap pada 9 September tahun depan, IPD Hulu Terengganu, Terengganu (RM108.88 juta) dijadual siap pada 14 April 2024 manakala IPD Klang Utara, Selangor (RM159.3 juta) akan mula memasuki tapak pada tahun depan.

"Semua IPD ini sedang dibina kecuali IPD Klang Utara. Selain lima IPD ini, satu lagi IPD akan dibina yang kini dalam proses dokumentasi iaitu IPD Belaga, Sarawak dengan kos RM90 juta," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek (IPD) Iskandar Puteri di Kota Iskandar di sini pada Isnin.

Turut hadir Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Kerja Raya Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Mohamad Zulkefly serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri.

Hamzah berkata, semua IPD berkenaan tidak mempunyai masalah seperti dihadapi IPD Iskandar Puteri yang mula dibangunkan pada 2014 tetapi mengalami kelewatan akibat masalah berkaitan kontraktor.

Katanya, pembinaan lima IPD baharu itu akan memberi keselesaan kepada anggota serta pegawai terbabit dan ketika ini terdapat 157 IPD di seluruh negara dan hanya IPD Klang Utara yang masih menyewa.

Ketika ditanya berkenaan bangunan lama ibu pejabat polis kontinjen (IPK) di negeri, beliau berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap bangunan IPK di Terengganu, Perak, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.

Jelasnya, peruntukan untuk IPK tersebut masih belum ada namun keutamaan akan diberikan kepada IPK Pulau Pinang terlebih dahulu.

Sementara itu ketika berucap, Hamzah menegur JKR supaya melantik syarikat kontraktor pembangunan yang benar-benar layak dan bukan lantikan akibat daripada tindakan melobi.

Menurutnya, pemberian projek pembangunan kepada syarikat pembinaan hasil daripada tindakan itu kerap menimbulkan masalah termasuk projek kerajaan yang tertangguh sehingga gagal disiapkan.

"Selaku menteri, saya mohon pada JKR kalau ada projek yang kita bangunkan bersama selepas ini tolong cari kontraktor yang benar-benar mampu, kita tidak mahu masalah ini timbul lagi di kemudian hari.

"Kami bersedia untuk siapa sahaja yang dilantik JKR tetapi biarlah dilakukan dengan prosedur sepatutnya dan tidak kerana lobi melobi.

"Akhirnya yang kuat melobi itu jadi penyebab masalah di kemudian hari," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!